JEMPOL: Belum sampai masanya lagi untuk Barisan Nasional (BN) mengetengahkan mana-mana individu atau pemimpin sebagai ‘poster boy’ bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak lama lagi.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid bagaimanapun berkata, beliau menghormati UMNO Sabah yang menamakan Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai wajah kempen utama BN atau ‘poster boy’ dalam pilihan raya itu.
“Sebagai Pengerusi BN, saya menghormati, itu pilihan mereka tetapi masanya belum sampai lagi,” katanya yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian pada Majlis Lebaran Kasih Aidilfitri 2025 bersama Warga Felda di Padang Awam Felda Palong 3 DUN Palong di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan UMNO Sabah menamakan Bung Moktar sebagai ‘poster boy’ parti itu pada PRN Sabah.
Ketua Penerangannya, Datuk Suhaimi Nasir berkata, ketetapan tersebut dibuat mengambil kira tradisi bersandarkan kedudukan Ahli Parlimen Kinabatangan itu sebagai pemimpin nombor satu parti di peringkat negeri.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO memberitahu, beliau telah mengadakan pertemuan dengan sebahagian daripada kepemimpinan UMNO Sabah semalam dan telah menggariskan panduan menghadapi PRN Sabah Ke-17.
“Saya fikir eloklah jika soal pemilihan Menteri Besar atau Ketua Menteri dalam konteks Sabah ini kita kemudiankan. Pastikan kemenangan calon yang akan diketengahkan.
“Saya sendiri akan merundingkan kepemimpinan UMNO di Sabah dalam menentukan siapakah boleh diterima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang lain atau siapa yang boleh mengetuai kerajaan negeri apabila jumlah kerusi itu diperoleh paling banyak kumpulan parti di Sabah,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang merupakan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memberitahu, rundingan dengan Kementerian Kewangan sedang dilaksanakan
bertujuan menambah peruntukan bagi pelaksanaan infrastruktur memasuki kawasan perumahan generasi peneroka Felda.
“Kami menyedari keperluan perumahan generasi kedua dan ke bawah itu sangat kritikal, kita akan ikhtiar bukan hanya apabila kerajaan negeri mengambil inisiatif untuk perumahan generasi kedua itu, tapi saya yakin peruntukan akan diberikan secukupnya kepada Felda.
“Saya yakin apa telah dibuat oleh pengurusan Felda yang telah mengemukakan pelan rancangan Felda khususnya pemulihan telah diserahkan awal minggu ini dan saya fikir penelitian akan dibuat oleh Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi dan Jabatan Perdana Menteri,” katanya. – UTUSAN