PETALING JAYA: Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi secara terbuka mengakui kekalahan Aaron Chia-Soh Wooi Yik kepada pasangan Jepun antara faktor kegagalan Malaysia di kejohanan Piala Sudirman 2025.
Ketika Malaysia mendahului 2-1 ke atas Jepun pada Khamis, Aaron-Wooi Yik turun selaku reputasi Juara Asia 2025 untuk memenangi perlawanan itu, namun terpaksa akur kepada Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 12-21, 22-20, 23-21.
Perlawanan itu juga hanya memisahkan satu mata sahaja untuk skuad negara menjuarai peringkat kumpulan dan dijangka laluan cerah ke separuh akhir sekiranya memenanginya apabila diundi pasukan mudah seperti Thailand, Denmark atau Taiwan.
Kekalahan itu menyebabkan Malaysia sekadar naib juara Kumpulan C, sekali gus diundi bertemu juara bertahan, China dan tewas 3-0 dalam suku akhir, kelmarin.
“Memang benar. Saya harap mereka jauh memberikan persembahan terbaik serta dapat menyumbang mata. Bagaimanapun Aaron-Wooi Yik kurang beruntung sedikit tewas kepada pasangan Jepun dan ada sedikit kesalahan.
“Namun, secara garis besar, cara mereka bermain sudah baik cuma nasib mereka kurang baik,” kata Herry.
Dalam pada itu, jurulatih kelahiran Indonesia itu turut menekankan perlunya penambahbaikan aspek fizikal terutama kepada Wooi Yik bagi menghadapi kejohanan besar akan datang.
Menurutnya, kekuatan pukulan dan tenaga menjadi kekurangan ketara walaupun permainan depan jaring sudah berada pada tahap memuaskan.
“Wooi Yik harus menambah latihannya di gimnasium supaya tenaga dan kekuatannya menjadi lebih baik. Sekarang dia sudah tahap terbaik tetapi perlu lagi sedikit peningkatan.
“Supaya tenaga, powernya dia lebih baik lagi… sekarang pun sudah baik tapi kalau mahu bagus, lebih baik lagi,” ujar jurulatih dari Indonesia itu.
Untuk rekod, pencapaian terbaik Malaysia pada kempen Piala Sudirman 2025 adalah mara ke separuh akhir pada edisi 2009, 2021 dan 2023.-UTUSAN