PETALING JAYA: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menjadi satu-satunya pihak yang diberi kuasa untuk mengeluarkan Sijil Tempasal Bukan Keutamaan (NPCO) bagi tujuan eksport ke Amerika Syarikat (AS) berkuat kuasa hari ini.
Kerajaan mengambil langkah tegas itu bagi menangani isu kemungkinan penyalahgunaan laluan dagangan Malaysia sebagai pintu masuk dan keluar barangan dari negara tertentu ke pasaran AS melalui amalan ‘transshipment’ yang menyalahi undang-undang perdagangan antarabangsa.
Menurut kenyataan, kerajaan menegaskan komitmen teguhnya di bawah kerangka Malaysia Madani untuk mengekang sebarang cubaan mengelak tarif melalui pengisytiharan palsu sama ada berkaitan nilai barangan mahupun negara asal pengeluaran.
“Kerajaan memandang serius percubaan menipu dengan menggunakan Malaysia sebagai laluan perantara bagi barangan yang sebenarnya dihasilkan di negara lain.
“Justeru, semua pengeluaran NPCO oleh majlis perniagaan, dewan atau persatuan yang sebelum ini dilantik oleh MITI akan dihentikan serta-merta dan hanya MITI akan mengeluarkan sijil tersebut berdasarkan garis panduan ketat yang ditetapkan,” demikian menurut kenyataan.
Tindakan itu bertujuan memastikan integriti dokumen perdagangan Malaysia kekal kukuh dan tidak disalah guna oleh pihak tertentu untuk memintas tarif yang dikenakan AS terhadap sesetengah negara.
Pada masa sama, MITI akan memperketatkan audit terhadap semua permohonan NPCO yang melibatkan destinasi eksport ke AS dan akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap sebarang pelanggaran.
MITI turut bekerjasama rapat dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam menyiasat kes berpotensi dan memperkukuh penguatkuasaan undang-undang perdagangan bagi melindungi nama baik negara di peringkat antarabangsa.
Langkah ini selaras dengan usaha Malaysia untuk terus menjadi rakan dagang yang dipercayai dan telus kepada komuniti antarabangsa, terutamanya dalam konteks hubungan perdagangan dengan AS.
Selain itu, ia turut menunjukkan kesungguhan negara dalam mematuhi peraturan Organisasi Perdagangan Dunia (WTO) dan perjanjian perdagangan bebas sedia ada, di samping memastikan pemain industri tempatan tidak terjejas oleh amalan yang tidak beretika.
Dengan pelaksanaan dasar baharu ini, semua pengeksport ke AS disaran segera menyesuaikan operasi mereka dengan ketetapan MITI, bagi mengelakkan sebarang gangguan kepada urusan eksport.
Maklumat lanjut dan panduan teknikal mengenai permohonan NPCO hanya melalui MITI boleh dirujuk menerusi laman web rasmi kementerian. – UTUSAN