PETALING JAYA: Pengendali Selangor, Katsuhito Kinoshi perlu menggalas misi ‘berat’ musim depan selepas pihak pengurusan mahu Gergasi Merah meraih sekurang-kurangnya satu piala.
Dalam masa yang sama, jurulatih kelahiran Jepun itu juga perlu membawa ‘raja Lembah Klang’ itu mencabar kejuaraan Liga Super yang sebelum ini didominasi oleh Johor Darul Ta’zim (JDT).
Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, pihak pengurusan kelab menaruh kepercayaan penuh kepada Kinoshi bagi merealisasikan sasaran berkenaan.
“Sekurang-kurangnya satu piala, itu sudah pasti. Kami ambil jurulatih yang ada nama, bukan murah. Kalau setakat nak jadi pasukan kedua sepanjang masa, ia tidak adil buat kelab dan penyokong.
“Sekurang-kurangnya satu piala dan jadi pencabar utama Liga Super pada musim hadapan,” kata Shahril dalam satu program stesen televisyen swasta.
Pada musim lalu, Kinoshi berjaya menghadiahkan kejuaraan Challenge Cup kepada Selangor FC, namun ia bukanlah sasaran utama pasukan itu kerana ia boleh dianggap piala kelas kedua.
Dalam perkembangan lain, Shahril memaklumkan pihaknya masih menanti kata putus Persatuan Bolasepak Singapura berkenaan hasrat untuk menghantar skuad B-23 beraksi dalamliga negara itu.
“Ada kemungkinan akan bermain dalam Liga Singapura. Tapi bukan mudah, banyak proses dan dokumentasi yang perlu diteliti. Tetapi belum dapat disahkan lagi. Seandainya tidak berjaya, salah satu (pilihan lain) bermain dalam Liga A1,” katanya.
Difahamkan skuad Gergasi Merah akan menjalani pramusim di Australia, Indonesia dan Thailand sebagai persiapan membentuk pasukan terbaik untuk emberi saingan dalam Liga M musim depan.-UTUSAN