CREMONA: Legenda MotoGP, Kevin Schwantz secara terbuka melontarkan kritikan terhadap kejuaraan utama itu apabila menyifatkan ia semakin hambar dan tidak lagi memberi hiburan seperti dahulu.
Schwantz, juara dunia musim 1993 yang kekal aktif menghadiri acara MotoGP, termasuk di tanah airnya di Amerika Syarikat, menyuarakan rasa kecewa selepas menyaksikan aksi perlumbaan Kejuaraan Superbike Dunia (WorldSBK) di Cremona, hujung minggu lalu.
“Superbike sentiasa menawarkan perlumbaan yang menarik. Saya berbual sebelum ini dan berkata, ‘Saya rasa MotoGP semakin membosankan, jadi saya datang ke sini untuk menonton perlumbaan yang sebenar’,” katanya.
Menurut Schwantz, tahap hiburan yang ditawarkan oleh WorldSBK jauh lebih tinggi berbanding MotoGP ketika ini, malah beliau percaya pelumba terbaik Superbike mampu bersaing di pentas lebih tinggi.
“Sudah tentu. Walaupun sistem elektronik dalam Superbike tidak sehebat jentera MotoGP, saya yakin pelumba seperti Toprak dan Nicolo boleh terus menyesuaikan diri jika diberi peluang.
“Toprak jelas sekali pelumba luar biasa. Dia mengawal motosikal dengan cara yang unik dengan stoppies dan gaya tunggangan agresifnya, sukar untuk kita nafikan bakatnya,” jelasnya.
Toprak Razgatlioglu, yang kini menunggang untuk BMW dan juara bertahan WorldSBK, sebelum ini membayangkan hasrat untuk beralih ke MotoGP pada musim 2026.
Masa depannya menjadi lebih menarik apabila MotoGP dijangka menukar pembekal tayar daripada Michelin kepada Pirelli pada 2027 yang kini digunakan dalam kejohanan WorldSBK, sekaligus memberi kelebihan kepada pelumba seperti Toprak.-UTUSAN