SEREMBAN : Enam Ketua Cabang PKR Negeri Sembilan menyatakan sokongan kepada Nurul Izzah Anwar sebagai Calon Timbalan Presiden.
Mereka tersebut Ketua Cabang Rembau, Jufitri Joha; Ketua Cabang Jelebu, Zainal Fikri Abd. Kadir; Ketua Cabang Seremban, Noor Iskandar Mohamad Noor; Ketua Cabang Rasah, Ahmad Izuddin Ismail; Ketua Cabang Kuala Pilah, Ismail Muhamad Nor dan Ketua Cabang Tampin, V. Raja.
Terdapat lapan cabang PKR keseluruhannya di Negeri Sembilan.
Menerusi kenyataan bersama, mereka berpandangan Nurul Izzah adalah individu yang terbaik bagi mengisi jawatan nombor dua itu sekali gus dapat memperkasakan parti di peringkat akar umbi.
Kata kenyataan itu, PKR memerlukan individu di luar kerajaan khususnya yang tidak memegang sebarang jawatan menteri bagi memberikan fokus sepenuhnya memimpin dan memperkasakan parti.
“Urusan pemerkasaan parti sebelum ini dilihat tidak digerakkan secara serius maka sudah sampai masanya kepemimpinan tertinggi memberikan fokus kepada pemerkasaan parti menjelang PRU ke-16 sekali gus memberikan ruang dan peluang yang seluas-luasnya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim memimpin negara.
“Oleh itu kami berpandangan bahawa individu yang terbaik mengisi jawatan Timbalan Presiden PKR ialah Nurul Izzah,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, sokongan diberikan juga mengambil kira perkembangan semasa pemilihan parti bagi memilih kepimpinan terbaik menjelang pilihan raya umum dan terus mempertahankan kepemimpinan Anwar untuk fokus memacu negara ke arah yang lebih cemerlang.
“Nurul Izzah merupakan individu yang tepat bagi mengisi jawatan Timbalan Presiden memandangkan beliau merupakan tokoh penggerak reformasi bahkan Puteri Reformasi yang memahami sejarah panjang dan idealisme perjuangan parti.
“Parti memerlukan individu yang berpengalaman luas seperti beliau dan juga sudah teruji sekian lama ketika parti berada dalam keadaan susah mahupun senang. Ia juga merupakan proses transisi kepemimpinan yang baik parti bagi memastikan parti sentiasa mempunyai kepimpinan yang berkualiti dan berkaliber, “ katanya.-UTUSAN