MIAMI: Pelumba Ferrari, Lewis Hamilton mendakwa bahawa terdapat sesuatu yang sedang menghalang Ferrari dalam Formula Satu (F1) pada musim ini ketika dia mengakui pasukan itu telah kehilangan prestasi dalam beberapa perlumbaan kebelakangan ini.
Permulaan yang sukar bagi Ferrari dalam musim ini berterusan di Miami apabila Hamilton dan rakan sepasukannya, Charles Leclerc menamatkan saingan ketinggalan satu minit di belakang pemandu-pemandu McLaren.
Namun, Hamilton sekurang-kurangnya berjaya memberikan sedikit kelegaan kepada jenama Itali itu pada hujung minggu yang mencabar apabila keputusan strategi yang tepat membolehkannya meraih tempat ketiga dalam perlumbaan pecut.
Walaupun bermula dari kedudukan kelapan dan kesebelas telah menjejaskan peluang pasukan dalam perlumbaan di Miami, Hamilton, yang pulih untuk menamatkan perlumbaan di tempat kelapan, tetap optimis tentang prospek Ferrari bagi musim 2025.
Hamilton mengatakan bahawa Ferrari bergantung kepada perkembangan terkini yang akan datang untuk kereta bagi mendapatkan semula kelajuan yang memberinya kemenangan sulung bersama Ferrari dalam perlumbaan di China.
“Saya rasa optimis untuk masa depan. Saya fikir kereta ini memang ada prestasi tetapi sesuatu sedang menghalang kami buat masa ini.
“Kami telah kehilangan prestasi sejak dari China. Prestasi itu ada, tapi kami tak boleh gunakannya. Sehingga kami selesaikan masalah itu, beginilah keadaan kami.
“Dalam masa yang sama, kami boleh bekerja pada aspek lain, semua proses lain namun seperti yang saya katakan, minggu lepas pun sama. Secara keseluruhan saya rasa saya ada hujung minggu yang lebih baik.
“Tetapi buat masa ini, kami sedang bersaing dengan Williams. Jadi jelas kami tidak sepantas yang kami mahukan. Williams melakukan kerja yang hebat pada minggu lalu,” katanya.
Hamilton, yang masih belum meraih podium pertamanya bersama Ferrari, yakin pasukan itu boleh bangkit sebagai pencabar terdekat McLaren apabila ia menyelesaikan kelemahan pada jentera SF-25.
“Saya benar-benar percaya bahawa apabila kami menyelesaikan beberapa masalah dengan kereta ini, kami akan kembali bersaing dengan Mercedes, dengan Red Bull. Ia cuma tak boleh datang cukup cepat.
“Kami akan cuba sesuatu yang berbeza dalam perlumbaan seterusnya. Kami akan terus bekerja pada proses kami. Saya tak sabar menanti masa di mana saya boleh berjuang untuk podium. Itu pasti akan jadi sesuatu yang bagus,” katanya. – AGENSI