Faisal kecewa dinafikan keadilan

Sukan

KAJANG: Bintang sensasi Selangor FC, Faisal Halim kecewa dengan keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mengklasifikasikan kes simbah asid terhadapnya sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Peguam yang mewakili Faisal, Nik Zarith Nik Moustpha mengakui, anak guamnya sukar menerima keputusan itu kerana tragedi hitam berkenaan hampir meragut nyawa dan kariernya sebagai pemain bola sepak profesional.

“Selepas mengetahui status kes berkenaan, Faisal selaku anak guam kami jelas kecewa dengan keputusan siasatan tetapi faham dengan situasi semasa dan juga peruntukan undang-undang.

“Kita ada undang-undang dan dia ada hak sebagai warganegara untuk mendapatkan keadilan. Dalam konteks ini, pihak berkuasa adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kita juga telah berbincang dengan Faisal untuk tentukan langkah seterusnya yang boleh diambil memandangkan dia adalah mangsa dalam kes ini,” katanya.

FAISAL HALIM

Seorang lagi peguam, Mohd. Haijan Omar berkata, mentaliti pemain berusia 27 tahun itu sangat cekal berikutan sudah berjaya membuat kemunculan secara kompetitif dalam masa singkat.

“Secara mental, kita tengok Faisal macam sudah okey kerana sudah kembali beraksi tetapi insiden ini pasti meninggalkan trauma padanya.

“Tidak sampai setahun, dia sudah kembali dipanggil bersama skuad kebangsaan dan ini adalah perkara positif,” katanya.

Faisal menjadi mangsa simbahan asid pada 5 Mei 2024 oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya dekat sini sehingga disahkan melecur tahap empat.

Namun, Faisal berjaya bangkit selepas menjalani beberapa siri pembedahan sebelum membuat kemunculan semula atas padang bersama ‘Gergasi Merah’ pada Ogos lalu.

Faisal turut dipanggil oleh Harimau Malaya kendalian Peter Cklamovski pada aksi kelayakan Piala Asia 2027 bertemu Nepal. – UTUSAN