OPR masih kekal pada 3.0 peratus

Perniagaan

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.0 peratus, sekali gus menolak jangkaan penganalisis mengenai penurunan OPR sebelum ini.

Keputusan mengekalkan kadar penanda aras bagi kadar pinjaman dan deposit di negara itu diputuskan pada mesyuarat ketiga Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM bagi tahun ini yang diadakan semalam.

Bank pusat berkata, penunjuk terkini menunjukkan pertumbuhan dan perdagangan global yang berterusan, disokong oleh permintaan dalam negeri dan aktiviti yang dilakukan lebih awal.

Prospek pertumbuhan global akan terus disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang positif, dasar monetari yang kurang ketat dan rangsangan fiskal.

“Namun, langkah-langkah tarif yang diumumkan oleh Amerika Syarikat (AS) dan tindakan balas telah melemahkan prospek pertumbuhan dan perdagangan global.

“Prospek ini kekal tertakluk pada ketidakpastian yang ketara, termasuk hasil rundingan perdagangan dan ketegangan geopolitik, selain boleh menyebabkan volatiliti pasaran kewangan global yang lebih ketara,” katanya dalam kenyataan.

Bagi Malaysia, kegiatan ekonomi terus berkembang pada suku pertama, didorong oleh permintaan dalam negeri yang mampan dan pertumbuhan eksport yang berterusan.

Pada masa hadapan, ketegangan perdagangan yang semakin meruncing dan ketidakpastian dasar global yang ketara akan menjejaskan sektor luaran.

Namun, permintaan berterusan terhadap barangan elektrik dan elektronik serta perbelanjaan pelancong yang lebih tinggi akan menampung eksport.

Menurut BNM, secara keseluruhan, pertumbuhan dijangka berteraskan permintaan dalam negeri yang berdaya tahan.

“Pertumbuhan guna tenaga dan upah, khususnya dalam sektor berorientasikan dalam negeri, berserta langkah-langkah dasar berkaitan pendapatan akan menyokong perbelanjaan isi rumah.

“Pengembangan aktiviti pelaburan akan diteruskan oleh projek berbilang tahun yang dilaksanakan dalam sektor swasta dan awam, lebih banyak pelaksanaan berterusan pelaburan yang telah diluluskan serta inisiatif pemangkin yang terus dilaksanakan di bawah beberapa pelan induk nasional.

“Secara keseluruhan, imbangan risiko kepada prospek pertumbuhan cenderung untuk menjadi perlahan, berpunca terutamanya daripada ekonomi rakan-rakan dagangan utama yang semakin lembap susulan sekatan dan tindakan balas perdagangan, sentimen yang lebih lemah berikutan ketidakpastian yang lebih tinggi boleh menjejaskan perbelanjaan dan pelaburan serta pengeluaran komoditi yang lebih rendah daripada jangkaan,” katanya.

Inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing berpurata pada 1.5 peratus dan 1.9 peratus pada suku pertama tahun ini.

Secara keseluruhan, inflasi pada tahun ini dijangka kekal terkawal berikutan keadaan kos global yang sederhana dan ketiadaan tekanan permintaan dalam negeri yang berlebihan.

Harga komoditi global dijangka terus menunjukkan trend menurun, lantas menyumbang kepada keadaan kos yang sederhana.

Dalam persekitaran ini, kesan keseluruhan langkah-langkah pembaharuan dasar dalam negeri yang diumumkan terhadap inflasi dijangka terkawal.

Risiko kepada inflasi akan bergantung pada tahap kesan limpahan langkah-langkah dasar dalam negeri serta perkembangan luaran berhubung dengan harga komoditi global, pasaran kewangan dan dasar perdagangan. – UTUSAN