McLaren berminat dapatkan Verstappen

Sukan

LONDON: Bos McLaren, Zak Brown mendedahkan bahawa dia telah menghubungi Max Verstappen untuk bertanya tentang kesediaan pelumba itu menyertai pasukan mereka.

Masa depan Verstappen menjadi topik hangat susulan masalah persaingan yang sedang dihadapi Red Bull musim ini serta pendedahan bahawa kontraknya yang kini berjalan sehingga 2028 mengandungi klausa keluar berkaitan prestasi.

Mercedes telah cuba memikat Verstappen sepanjang tahun lalu manakala Aston Martin dilaporkan sedang menyediakan tawaran yang sangat lumayan untuk pelumba Belanda itu.

Walaupun Verstappen berulang kali menegaskan bahawa dia gembira bersama Red Bull dan tidak mahu berpindah, masa depannya terus menjadi bualan kerana harapannya untuk memenangi kejuaraan kelima berturut-turut semakin sukar dengan pendominasian McLaren pada musim ini.

Brown mengakui bahawa dia telah menghubungi Verstappen untuk menilai kemungkinan dia sudah bersedia sekiranya berlaku kesan domino dalam pasaran pemandu Formula Satu (F1).

“Oh ya, mengenai panggilan itu… Sudah menjadi tugas saya untuk meneroka pasaran dan mengetahui apa yang sedang berlaku. Kita perlu ingat bahawa pada masa itu saya juga sedang berunding kontrak baru dengan pemandu saya sendiri (Oscar Piastri).

“Saya mahu dapat menganggarkan sama ada ada kemungkinan berlaku perubahan yang boleh mencetuskan kesan domino. Kerana itu boleh membangkitkan semula minat terhadap pemandu saya. Itulah sebabnya saya bertanya. Saya berpuas hati,” kata Brown.

McLaren kini mempunyai kedua-dua Lando Norris dan pendahulu kejuaraan, Oscar Piastri dengan kontrak jangka panjang masing-masing sehingga 2027 dan 2028. – AGENSI