Ringgit didagang lebih tinggi berbanding dolar AS

Perniagaan

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS, disokong sentimen positif berikutan perkembangan tarif perdagangan antara ekonomi global utama, termasuk China dan United Kingdom (UK), kata seorang pakar ekonomi.

Pada pukul 8 pagi, mata wang tempatan itu  meningkat kepada 4.2715/2905 berbanding dolar AS berbanding 4.2780/2830 pada penutup Khamis.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd. Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, terdapat keyakinan bahawa rundingan perdagangan antara AS dan China akan membuahkan hasil positif minggu ini.

“Keghairahan itu adalah berdasarkan perjanjian perdagangan baru-baru ini antara AS dan UK, yang menyaksikan pengurangan tarif ke atas kereta dan keluli.

“Bagaimanapun, tarif 10 peratus adalah sangat utuh, menunjukkan kesan kejutan tarif masih dapat dilihat pada bulan-bulan akan datang,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, Mohd Afzanizam berkata Indeks Dolar AS (DXY) meningkat 1.03 peratus kepada 100.64 mata manakala hasil Perbendaharaan AS untuk nota 2 dan 10 tahun juga meningkat sebanyak 10 dan 11 mata asas kepada 3.87 peratus dan 4.38 peratus, masing-masing.

“Sehubungan itu, ringgit dijangka mengalami pembetulan selanjutnya kerana permintaan terhadap dolar AS semakin meningkat berdasarkan perkembangan terkini,” katanya.

Pada pembukaan, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama dan mata wang ASEAN. – UTUSAN