Madrid enggan berputih mata bertemu Barcelona

Sukan

MADRID: Jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti berjanji bahawa pasukannya akan memberi tentangan hebat menentang pendahulu La Liga, Barcelona dalam perlawanan pertembungan El Clasico, Ahad ini.

Mahu atau tidak, Real tidak mempunyai pilihan selain mencatat kemenangan ke atas Barcelona dalam usaha mereka mengurangkan jurang empat mata dengan Barcelona yang kini mengumpul 79 mata.

Juara bertahan Real memperoleh kemenangan 3-2 ke atas Celta Vigo pada Ahad lalu untuk terus menghidupkan impian kejuaraan mereka menjelang empat perlawanan terakhir dalam kempen ini.

Barcelona pula tidak tewas dalam 15 perlawanan liga terakhir dan menewaskan Real 3-2 selepas masa tambahan untuk memenangi Copa del Rey hujung minggu lalu.

“Kami akan bersedia dengan baik, kami akan memberikan saingan hebat. Ia mungkin bukan penentu kejuaraan, tetapi hampir ke arah itu.

Kami akan mempunyai peluang yang hebat, kami perlu membuat persediaan yang baik, ia adalah perlawanan yang hampir penentu,” kata Ancelotti.

Ancelotti menyalahkan ketiadaan pemain akibat kecederaan sebagai punca Real gagal mempertahankan kelebihan 3-0, dengan Celta Vigo menjaringkan dua gol dalam tempoh tujuh minit untuk memberi tekanan kepada tuan rumah.

“Kita kena ingat bahawa ada enam pertahanan yang tidak dapat bermain dan kami tidak sentiasa mampu menampung perkara ini. Ya, kami boleh mengendalikannya dengan lebih baik, kami sedikit menderita tetapi ini adalah kemenangan yang manis,” katanya.

Penyerang Rodrygo, yang terlepas perlawanan menentang Celta Vigo akibat demam, dijangka cergas untuk perlawanan menentang Barcelona. – AGENSI