PH, BN sepakat kerjasama hadapi PRN Sabah

Politik

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mencapai kata sepakat untuk bekerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Menurut kenyataan bersama Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, perkara itu dicapai hasil mesyuarat kepemimpinan tertinggi antara Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berlangsung semalam.   

“Bentuk kerjasama termasuk soal pengagihan kerusi dan perundingan dengan mana-mana parti lain akan diperincikan bersama di antara kepemimpinan PH dan BN Sabah.

“Segala keputusan akan dimuktamadkan oleh kepemimpinan tertinggi PH dan BN di peringkat kebangsaan,” katanya.

Semalam, Ahmad Zahid berkata, kerjasama antara BN dan PH perlu diperkukuhkan terlebih dahulu menjelang PRN Sabah. 

Baru-baru ini, Ketua Penerangan PKR Sabah, Razeef Rakimin berkata, kerjasama politik antara PH dan BN dalam PRN perlu melibatkan Gabu­ngan Rakyat Sabah (GRS) sebagai formula terbaik bagi mentadbir negeri berkenaan. 

Bagaimanapun, katanya, BN perlu memulihkan hubungan dengan GRS terlebih dahulu sebelum memutuskan soal kerjasama dan pembahagian kerusi. 

Sebelum ini, Ketua Pe­nerangan GRS, Datuk Joniston Bangkuai menegaskan sebarang keputusan untuk menjalinkan kerjasama politik perlu dibuat secara konsensus dalam kalangan komponen gabungan itu.-UTUSAN