Bursa Malaysia melonjak, dibuka lebih tinggi

Perniagaan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia pulih daripada kerugian semalam denhgan dibuka lebih tinggi, dirangsang oleh minat belian baharu dalam saham wajaran tinggi terpilih, yang sejajar dengan momentum positif di pasaran serantau, kata seorang penganalisis.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 3.93 mata kepada 1,546.67, meningkat daripada 1,542.74 penutup Khamis.

Jumlah dagangan berjumlah 156.16 juta saham, bernilai RM77.70 juta.

Keluasan pasaran adalah positif, dengan 202 untung mengatasi 133 rugi; 251 kaunter tidak berubah, 1,781 tidak diniagakan dan 10 digantung.

Dalam nota hari ini, Malacca Securities Sdn. Bhd. berkata, memandangkan prestasi positif di Amerika Syarikat (AS), bursa tempatan dijangka melantun semula apabila indeks  telah meningkat 8.0 peratus sejak paras rendah 9 April, disokong lagi oleh pemotongan 100 mata asas dalam Keperluan Rizab Berkanun, yang menyuntik kira-kira RM19 bilion kecairan ke dalam sistem perbankan.

“Peniaga mungkin mencari peluang dagangan dalam saham perbankan yang ketinggalan seperti Alliance dan AmBank.

“Sementara itu, kami mendapati tema kecerdasan buatan (AI) telah mendapat semula momentum berikutan potensi semakan semula (Presiden AS terdahulu) akta sekatan cip pentadbiran Biden. Ini boleh merangsang minat dagangan dalam sektor pembinaan, utiliti dan teknologi,” kata penyelidik dalam nota hari ini. – UTUSAN