KUANTAN: Selepas Hospital Aurelius Alor Setar (AHAS) di Kedah, Aurelius Healthcare melebarkan sayapnya di negeri ini menerusi pembukaan Hospital Aurelius Pahang (AHP) membabitkan pelaburan awal RM36 juta.
Semalam menjadi detik bersejarah buat AHP apabila hospital itu dilancarkan secara rasminya oleh Tengku Panglima Raja, Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah selaku wakil rasmi kepada Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Ditempatkan di kawasan tumpuan di pusat bandaraya ini, AHP mula beroperasi pada 2023 dengan menawarkan rangkaian penuh perkhidmatan pelbagai disiplin dan kini dirasmikan sebagai sebahagian daripada strategi pengembangan nasional Aurelius Healthcare.
Dengan pelaburan awal RM36 juta, tambahan RM100 juta akan diperuntukkan untuk pembangunan hospital tertiari baharu bersebelahan bangunan AHP ketika ini.
Melalui pelaburan baharu ini, hospital ini kini dalam proses transformasi daripada sebuah fasiliti 57 katil kepada hospital tertiari moden setinggi 12 tingkat, lengkap 150 katil dan 40 klinik pakar, bagi membolehkan akses kepada penjagaan kesihatan berkualiti.
AHP turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan diagnostik dan rawatan canggih seperti MRI 1.5 Tesla, pengimbas CT 64-lembaran, angiogram satu satah, mamogram digital, serta pelbagai perkhidmatan pengimejan dan endoskopi.
Hospital ini sedang membangunkan Pusat Kecemerlangan dalam bidang Onkologi, Pembedahan Invasif Minimum, Ortopedik, serta Kesihatan Wanita dan Kanak-kanak.
Usaha ini disokong oleh 29 perunding merangkumi 16 bidang kepakaran. Selaras dengan keperluan pesakit yang semakin meningkat, hospital itu telah memperkenalkan perkhidmatan klinikal baharu dalam bidang dermatologi dan neurosains, termasuk neurologi dan neurosurgeri.
Ia turut berbangga kerana mempunyai pakar bedah ortopedik berpengalaman luas dalam pembedahan tulang belakang invasif minimum dan merupakan satu-satunya hospital di Pahang yang mempunyai subkepakaran glaukoma, sekali gus menawarkan rawatan pakar mata bertaraf tinggi tanpa perlu dirujuk ke luar negeri.
Hospital itu turut menjadi antara hospital pertama di Kuantan yang menawarkan perkhidmatan onkologi yang menyeluruh. Ia juga bakal dilengkapi dengan mesin pemecut linear untuk tujuan rawatan radioterapi, yang merupakan satu langkah penting dalam usaha memperluaskan perkhidmatan penjagaan kanser di Pantai Timur.
Selepas beroperasi nanti, AHP bercadang mengembangkan perkhidmatan ini dengan kerjasama sektor awam bagi memenuhi permintaan yang meningkat di seluruh negeri.
Setakat ini, hospital itu telah melaksanakan hampir 1,000 pembedahan baharu, selain menjalankan pelbagai sesi perundingan dan rawatan onkologi. Ia merupakan satu langkah signifikan dalam usaha memperluas akses kepada rawatan yang mampu menyelamatkan nyawa di negeri ini.
AHP juga berbangga kerana sudah menyambut kelahiran lebih 2,000 bayi, memberikan permulaan hidup yang terbaik kepada ramai anak jati Pahang.
Untuk menangani cabaran yang dihadapi oleh pesakit dialisis di negeri ini, AHP kini menawarkan prosedur arteriovenous fistula (AVF), satu perkhidmatan penting yang sebelum ini memaksa pesakit ke Johor untuk mendapatkan rawatan.
Dengan kadar kejayaan awal yang memberangsangkan, AHP menyasarkan untuk menerbitkan hasil klinikal sebagai bukti komitmennya terhadap ketelusan dan kecemerlangan klinikal.
AHP turut memasukkan petunjuk kualiti ke dalam Petunjuk Prestasi Utama (KPI), termasuk elemen boleh diukur yang mencerminkan komitmennya terhadap keselamatan dan kecemerlangan penjagaan kesihatan. AHP bakal mengumumkan maklumat ini kepada orang ramai.
Persiapan sedang dilakukan untuk memastikan hospital ini memperoleh pengiktirafan mengikut piawaian Malaysia dan seterusnya mendapatkan piawaian antarabangsa.
Sebagai komitmen bagi menyediakan perkhidmatan holistik yang cemerlang, AHP turut memperkenalkan Signature Suites, satu penanda aras baharu dalam penjagaan pesakit VIP di Pahang. Signature Suite eksklusif ini menggabungkan keselesaan premium dengan privasi yang lebih baik, penjagaan jururawat peribadi serta perkhidmatan khusus seperti proses keluar wad dan pengambilan ubat yang lebih pantas dan perkhidmatan oleh duta pesakit.
Untuk memudahkan orang ramai, AHP turut menempatkan premis kegemaran ramai seperti O’Brien’s Café, Mas Awana, dan Aurelius MedCare, bagi memenuhi keperluan gaya hidup dan keselesaan dalam persekitaran hospital.
“Matlamat kami jelas untuk membawa penjagaan kesihatan bertaraf dunia kepada rakyat. Semua hospital kami dibina berlandaskan kepada prinsip yang sama iaitu kecemerlangan dalam penjagaan, pelaburan dalam teknologi dan penglibatan komuniti yang bermakna.
“Pelancaran AHP bukan hanya satu simbolik, tetapi merupakan pencapaian penting dalam visi Aurelius Healthcare untuk membina ekosistem penjagaan kesihatan yang mudah diakses, saling berhubung, berteraskan pesakit dan berkualiti tinggi untuk masyarakat membabitkan pelbagai latar belakang di seluruh negara,” kata Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Aurelius Healthcare, Datuk Amir Firdaus Abdullah. – UTUSAN