PUTRAJAYA: Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang hari ini mengesahkan beliau akan mempertahankan jawatannya itu dalam pemilihan parti hujung bulan ini.
Ahli Parlimen Tanjung Malim itu berkata, keputusan itu dibuat selepas beliau menghantar menghantar borang pencalonan tersebut tengah malam tadi.
“Saya sudah selesai proses penamaan calon dalam pemilihan parti saya. Dan saya akan mempertahankan jawatan Naib Presiden.
“Tengah malam tadi saya menghantar borang pencalonan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Projek Pembangunan Stesen Pengisian Hidrogen Mudah Alih (MHRS) di sini hari ini.
Mengulas mengenai persaingan sengit dalam perebutan jawatan itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu berkata, situasi itu menunjukkan satu perkembangan yang positif.
“Ini menunjukkan ramai orang berminat untuk melibatkan diri dalam kepimpinan parti. Dan saya rasa ini adalah sesuatu yang bagus,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut mengalu-alukan semua pihak yang mahu bertanding termasuk ramai kepimpinan di peringkat negeri yang menamakan Nurul Izzah Anwar untuk jawatan Timbalan Presiden.
“Saya mengalu-alukan semua yang bertanding, kita meraihkan semangat demokrasi,” katanya.
Pemilihan PKR yang diadakan pada 23 dan 25 Mei ini di Johor Bahru dijangka menyaksikan persaingan hebat beberapa jawatan utama, termasuk Timbalan Presiden dan Naib Presiden.
Bagi jawatan Naib Presiden, sembilan calon telah mengesahkan pencalonan setakat pukul 11 malam tadi antaranya tiga penyandang jawatan iaitu Lih Kang; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shaari yang turut mengumumkan hasrat mempertahan jawatan masih belum mengemuka pencalonan malam tadi.
Selain itu ialah, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, R. Ramanan; Timbalan Setiausaha Agung PKR, Dr. Sathia Prakash Nadarajan; Ahli Parlimen Segamat R. Yuneswaran; Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, Senator Abun Sui Anyit dan bekas EXCO Selangor, Hee Loy Sian turut sudah mengemukakan pencalonan. – UTUSAN