Cuckoo Malaysia pinda prospektus IPO, catat hasil RM1.24b tahun lalu

Perniagaan

PETALING JAYA: Cuckoo International (MAL) Berhad (Cuckoo Malaysia) mengumumkan prospektus tambahan yang menggariskan beberapa pindaan kepada prospektus utamanya, berikutan penjadualan semula syarikat itu bagi tawaran awam permulaan (IPO).

Keputusan tersebut diambil dengan penuh teliti hasil penilaian menyeluruh oleh pengurusan Cuckoo Malaysia, dalam usaha memastikan kejayaan dan kemampanan kemasukannya ke dalam pasaran awam.

Cuckoo menyasarkan penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 24 Jun 2025.

Dalam prospektus tambahannya, Cuckoo Malaysia melaporkan hasil tertinggi sebanyak RM1.24 bilion untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, sekali gus mengekalkan rekod pendapatan melebihi RM1 bilion.

Peningkatan hasil sebanyak 11 peratus ini didorong oleh prestasi kukuh produk Cuckoo Co-Created yang melonjak 62.6 peratus kepada RM250.3 juta, serta pertumbuhan 3.0 peratus dalam produk jenama Cuckoo kepada RM983.2 juta.

Syarikat turut mencatatkan peningkatan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak 23.2 peratus tahun ke tahun, disokong oleh keuntungan kasar yang lebih tinggi dan kos pembiayaan yang lebih rendah berikutan pengurangan kerugian tukaran asing bersih, walaupun sebahagiannya ditimbal balas oleh perbelanjaan berkaitan IPO sebanyak RM5.7 juta.

Pengarah Eksekutif Bukan Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif Cuckoo Malaysia, Hoe Kian Choon berkata, beliau yakin terhadap hala tuju syarikat, khususnya selepas mencatatkan PATAMI terkumpul sebanyak RM128.9 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, iaitu peningkatan sebanyak 47.7 peratus berbanding RM87.3 juta tahun sebelumnya.

“Kami menjangkakan prospek jangka panjang yang positif dan memberangsangkan, dipacu oleh permintaan pengguna Cuckoo Malaysia yang kukuh, model perniagaan sewaan yang berdaya tahan, pelaburan berterusan dalam teknologi dan infrastruktur, serta kesiapsiagaan pasukan pengurusan kanan berpengalaman untuk mendepani landskap pasaran semasa secara strategik.

“Kami komited untuk mengekalkan momentum merangkumi semua segmen perniagaan melalui penambahan unit simpanan stok (SKU) produk dan penawaran servis penjagaan kediaman, serta mengukuhkan saluran pengedaran kami di seluruh Malaysia dan Singapura.

“Usaha ini akan terus menyokong pertumbuhan syarikat dan membolehkan kami memberikan perkhidmatan kepada pangkalan pelanggan yang lebih luas, membina kesetiaan jenama serta meningkatkan jualan silang produk atau servis kami,” katanya dalam kenyataan.

Cuckoo Malaysia menetapkan 22 Mei 2025 jam 5 petang sebagai tarikh akhir untuk pelabur menarik balik permohonan bagi tawaran awam permulaan IPO syarikat itu susulan penjadualan semula proses penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia.

Proses penarikan balik hanya terpakai kepada pelabur yang telah mengemukakan permohonan sebelum pengumuman penjadualan semula IPO dan kini ingin menarik balik permohonan mereka.

“Proses itu perlu dilakukan menerusi Malaysian Issuing House (MIH), cawangan bank, atau platform dalam talian yang digunakan semasa permohonan asal dibuat.

“Pemulangan wang akan diproses pada hari sama atau dalam tempoh lapan hari dagangan selepas borang penarikan balik yang sah diterima, bergantung kepada kaedah penghantaran,” katanya.

Borang penarikan balik boleh dikemukakan melalui laman sesawang MIH di [www.mih.com.my]( e-mel ke [[email protected]](mailto:[email protected]), pos atau serahan tangan ke peti khas yang disediakan di Menara Symphony.

Pelabur yang memilih untuk menarik balik permohonan mereka masih boleh memohon semula dalam tempoh langganan IPO yang kekal dibuka dan akan ditutup pada 5 Jun 2025. – UTUSAN