PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan mengulas lanjut mengenai pencalonan anaknya, Nurul Izzah Anwar untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menjamu selera di sebuah restoran di Presint 9, di sini hari ini.
Sebelum itu, wartawan sempat mengajukan soalan kepada Perdana Menteri mengenai pencalonan Nurul Izzah itu.
Walaupun tidak menjawab soalan diajukan, Anwar kemudian berseloroh: “Saya tak daftar lagi (borang pencalonan Presiden). Presiden masih kosong…saya akan isi kemudian.
Jawapan itu memberi bayangan bahawa Anwar akan mempertahankan jawatan Presiden PKR dan akan segera mengisi borang pencalonan hari ini.
Setakat ini, bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, belum ada mana-mana pemimpin mengemukakan pencalonan.
Media sebelum ini melaporkan, akar umbi PKR mahu mengangkat Nurul Izzah sebagai timbalan presiden parti itu.
Dalam pada itu, Datuk Seri Rafizi Ramli dalam kenyataan berkata, beliau sedia berhadapan Nurul Izzah yang kini mendapat sokongan ramai bagi mempertahankan jawatan nombor dua parti itu.
Setakat pukul 11 malam tadi, sembilan pemimpin sudah mengesahkan pencalonan setakat bagi perebutan jawatan Naib Presiden PKR pada pemilihan parti itu yang dijadual berlangsung hujung bulan ini.
Mereka termasuk tiga penyandang jawatan iaitu Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad; Menteri Sains dan Teknologi, Chang Lih Kang serta Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shaari yang turut mengumumkan hasrat mempertahan jawatan masih belum mengemuka pencalonan malam tadi.
Turut sudah mengemukakan pencalonan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, R Ramanan; Timbalan Setiausaha Agung PKR, Dr Sathia Prakash Nadarajan; Ahli Parlimen Segamat R Yuneswaran; Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, Senator Abun Sui Anyit dan bekas EXCO Selangor, Hee Loy Sian.
Bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), seramai 62 pemimpin sudah mengemuka pencalonan mereka termasuk Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim; bekas Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik serta pengarah dan pelakon, Hans Isaac.
Bagi saingan sayap, hanya penyandang Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek dan Timbalan Ketua Wanita, Juwairiyah Zulkifli sudah mengemukakan pencalonannya. – UTUSAN