Pakistan tarik diri Piala Asia akibat ancaman serangan tentera India

Sukan

KUALA LUMPUR: Kejohanan Piala Asia Sepak Takraw 2025 kehilangan satu lagi pasukan apabila Pakistan mengumumkan penarikan diri saat akhir atas faktor keselamatan akibat ancaman serangan tentera India.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF), Datuk Abdul Halim Kader yang menerima makluman rasmi daripada Setiausaha Agung Persatuan Sepak Takraw (PSF), Noushad Ahmed Khan, semalam.

“Noushad memaklumkan saya dan Datuk Sumali Reduan bahawa penarikan diri itu juga disebabkan lapangan terbang antarabangsa di Islamabad terpaksa ditutup gara-gara khuatir dengan ancaman serangan oleh tentera India.

“Enam pemain Pakistan serta jurulatih dan pengurus pasukan mereka pada mulanya dijadualkan berlepas ke Kuala Lumpur malam itu,” katanya menerusi kenyataan rasmi, hari ini.

Pakistan sebelum ini telah pun melabur besar untuk menyertai kejohanan ini dan menjadikan Piala Asia ASTAF di Kuala Lumpur sebagai pentas antarabangsa pertama mereka tahun ini.

Pasukan itu sepatutnya beraksi dalam Kumpulan A acara kuadran menentang Vietnam, Singapura dan Korea Selatan serta Kumpulan C regu bersama Vietnam, China dan Jepun.

Bagaimanapun, selaras dengan peraturan kejohanan, mana-mana pasukan yang menarik diri selepas undian akan dikira kalah percuma 2-0 (15-0, 15-0) dalam semua perlawanan.

“Pakistan sebenarnya sangat komited dan menyasarkan penyertaan ini selepas gagal ke Piala Dunia ISTAF di Bihar, India Mac lalu,” katanya lagi.

India bagaimanapun telah pun tiba dan bakal bersaing dalam kesemua kategori manakala Myanmar sebelum ini turut menarik diri kerana gempa bumi yang melanda negara itu April lalu. – UTUSAN