Harga pasir naik hingga 3.8% pada April

Perniagaan

PETALING JAYA: Harga pasir meningkat sehingga 3.8 peratus pada April 2025, manakala harga besi terus menurun untuk bulan keempat berturut-turut, menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata,peningkatan tertinggi bagi indeks harga pasir direkodkan di Pahang iaitu 3.8 peratus, diikuti dengan Perak (2.9 peratus), Johor dan Kuching masing-masing 1.6 peratus.

“Indeks harga besi menunjukkan penurunan antara -0.1 peratus hingga -3.4 peratus pada April 2025 berbanding bulan lepas.

“Penurunan tertinggi indeks harga bahan ini dicatatkan di Pulau Pinang, Kedah,Perlis dan Kota Kinabalu masing-masing menunjukkan (-3.4 peratus) diikuti dengan Pahang (-0.8 peratus) dan Kuching (-0.6 peratus),” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, indeks harga keluli dan logam juga mencatatkan penurunan kecil iaitu antara -0.1 peratus hingga -2.6 peratus bagi hampir semua kawasan pada April 2025 berbanding bulan lepas.

“Penurunan tertinggi bagi indeks harga bahan ini direkodkan di Perak (-2.6 peratus) manakala indeks harga simen kekal tidak berubah bagi kebanyakan kawasan.

“Namun begitu, penurunan kecil bagi indeks harga seunit bahan ini telah direkodkan bagi beberapa kawasan iaitu di Sandakan (-1.3 peratus), diikuti dengan Perak dan Kuching (-0.2 peratus),” katanya.

Tambahnya, perbandingan tahunan untuk tempoh April 2024 dan April 2025 menunjukkan indeks harga simen merekodkan peningkatan antara 0.1 peratus hingga 3.5 peratus bagi kebanyakan kawasan dengan peningkatan tertinggi dicatatkan di Johor dan Tawau (masing-masing 3.5 peratus) diikuti Pahang (3.3 peratus).

“Namun begitu, perbandingan tahunan indeks harga seunit besi pula mencatatkan penurunan antara -1.1 peratus hingga -17.2 peratus pada April 2025 berbanding bulan sama tahun lalu.

“Penurunan tertinggi bagi indeks harga seunit besi direkodkan di Perak iaitu -17.2 peratus,” ujarnya.

Mohd. Uzir berkata, purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan Mycon 60 high tensile deformed bars merekodkan penurunan kecil -0.4 peratus dengan purata harga RM3,490.80 setiap tan metrik berbanding bulan sebelumnya (Mac 2025: RM3,505.30 per tan metrik).

“Tren penurunan harga bahan ini adalah sejajar dengan penyusutan harga komoditi besi dan bijih besi di pasaran antarabangsa.

“Purata harga bagi simen Ordinary Portland pula telah mencatatkan peningkatan kecil 0.2 peratus dengan purata harga RM23.70 per 50 kilogram (kg) sekarung berbanding Mac 2025 (RM23.65 per 50 kg sekarung),” katanya. – UTUSAN