KUALA LUMPUR: Peruncit kelengkapan rumah terkenal, MR D.I.Y. Group (M) Bhd. melancarkan kempen MANJA Land sebagai tanda penghargaan kepada sokongan pelanggan setia mereka.
Kempen dengan slogan ‘Minta maaf, MR D.I.Y. terlalu memanjakan anda’ itu berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga 11 Mei di MR D.I.Y PLUS, Mid Valley Megamall dengan mengubah ruang menjadi sebuah tempat bersantai dan sesi memanjakan diri untuk para pelanggan yang mengunjungi kedai itu.
Naib Presiden Pemasaran Kumpulan MR D.I.Y., Alex Goh berkata, kempen tersebut merupakan satu cara jenaka syarikat itu dalam ‘memohon maaf’ kerana terlalu memanjakan pelanggan melalui pelbagai ganjaran dan aktiviti menarik.
“Di MR D.I.Y., kami sentiasa mencari peluang untuk menghargai pelanggan kami. Kempen ini bukan sekadar menawarkan pelbagai barangan keperluan dengan harga rendah, malah turut mempertingkat pengalaman membeli-belah pelanggan.
“MANJA Land diubahsuai menjadi sebuah ruang rehat eksklusif yang menampilkan pelbagai aktiviti memanjakan diri termasuk urutan, rias kuku, bengkel interaktif dan zon khas untuk kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan.

Antara tarikan utama MANJA Land ialah Manja Lab iaitu Bengkel seperti Analisis Warna Peribadi, Pembuatan Minyak Wangi dan Gubahan Bunga.
Selain itu, Manja Lounge iaitu ruang rehat dengan kopi barista dan bertih jagung dan Manja Spa dengan memberi urutan tangan dan bahu serta penggunaan kerusi urut.
MANJA Land juga menawarkan Manja Fingers iaitu perkhidmatan rias kuku selama 20 minit dan Lil’ Manja iaitu zon permainan kanak-kanak termasuk Slime Play dan spa mini.
Pelanggan hanya perlu mengumpul token menerusi pembelian atau penyertaan dalam aktiviti media sosial untuk menebus ganjaran menarik yang ditawarkan di kaunter penebusan MANJA LAnd.
Kempen tersebut dilihat sebagai usaha MR D.I.Y. untuk mendekati pelanggan dan mengekalkan jenama sebagai destinasi pilihan bagi barangan kelengkapan rumah pada harga berpatutan.
Kumpulan MR D.I.Y. yang kini memiliki lebih 1,400 cawangan di seluruh negara merangkumi jenama MR. D.I.Y., MR. DOLLAR dan MR. TOY serta cawangan di Brunei, kekal komited dalam menyediakan produk berkualiti dengan harga berpatutan selaras dengan moto syarikat iaitu “Always Low Prices”.
Semua cawangannya diuruskan secara langsung dan menawarkan lebih 17,000 produk SKU dalam lima kategori utama termasuk perkakas rumah, peralatan elektrik, barangan keperluan peribadi dan alat tulis. – UTUSAN