KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan kelab bola sepak negara perlu memperbaiki tadbir urus dalaman terlebih dahulu sebelum menyalahkan dasar potongan cukai sebagai punca kekurangan penaja.
Menurutnya, isu utama yang membantutkan kepercayaan syarikat untuk menaja bukan sekadar peratusan pengecualian cukai yang rendah, tetapi juga kegagalan kelab membina keyakinan korporat.
“Kalau ada isu pembayaran gaji, memang kalau saya sponsor pun saya tak nak terlibat kalau ada isu pembayaran gaji.
“Jadi saya nak semua kelab ini ‘clean up’ dulu… kalau mereka tak mampu, mungkin boleh bagi kepada orang lain yang berminat untuk menjaga kelab-kelab tersebut,” kata Hannah ketika sidang media Majlis Pelancaran Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025, di sini, semalam.
Kenyataan itu menyusul selepas bekas Exco Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Christopher Raj mencadangkan pelepasan cukai 100 peratus kepada penaja sukan seperti diamalkan di Jepun bagi merancakkan ekosistem pelaburan dalam bola sepak.
Hannah turut menjelaskan bahawa soal pengecualian cukai bukan bidang kuasa kementeriannya, malah kerajaan selama ini telah banyak menyokong bola sepak berbanding sukan lain.
“Tuduhan yang sering dilemparkan ialah kerajaan terlalu memihak kepada bola sepak, jadi tidak timbul soal kita tidak menyokong,” katanya lagi.
Tambahnya, kelab perlu belajar menilai daya saing masing-masing memandangkan sukan lain seperti hoki dan badminton juga berkongsi penaja yang sama dalam pasaran yang kecil.
Beliau menegaskan segala urusan liga dan penyertaan kelab adalah tanggungjawab Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), bukannya kerajaan. – UTUSAN