BUTTERWORTH : Hanya ada satu kem dalam PKR walaupun ada pertandingan untuk merebut jawatan Timbalan Presiden parti itu iaitu di antara penyandangnya, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar.
Timbalan Ketua Penerangan I PKR, Datuk Seri R. Ramanan berkata, hal ini demikian kerana, parti itu hanya mempunyai seorang Presiden sahaja ketika ini iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Oleh itu, saya rasa kita perlu hentikan dakwaan ini (wujud dua kem dalam PKR kerana ada pertandingan jawatan Timbalan Presiden). Datuk Seri Anwar akan sentiasa kekal sebagai Presiden sehingga habis penggal. Itu realitinya,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan bersama akar umbi parti di Seberang Jaya di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Ramanan yang juga calon Naib Presiden PKR berkata, ada dalam kalangan ahli akar umbi yang meluahkan rasa kecewa dengan sikap segelintir pemimpin yang ‘lupa diri’ apabila berjaya memegang jawatan besar dalam parti ketika ini.
“Saya tidak mahu sembunyikan hal ini. Ini adalah maklum balas yang sangat jelas daripada ahli di bawah (akar umbi). Mereka kata, dulu pemimpin itu senang angkat telefon. Sekarang, dah ada driver (pemandu) ada bodyguard (pengawal peribadi), kerani dan sebagainya, susah nak dekati mereka.
“Mesej itu berulang kali saya terima daripada akar umbi semasa saya turun ke beberapa negeri termasuk Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Sabah,” katanya.
Mengulas mengenai pencalonannya sebagai Naib Presiden PKR pula, Ramanan menyifatkan bahawa saingan yang diterimanya ketika ini sangat sengit kerana terdapat sekurang-kurangnya 10 calon lain yang bertanding untuk jawatan berkenaan.
“Jadi, saya tidak boleh ambil mudah cabaran kali ini dan akan bekerja lebih keras bagi meyakinkan ahli parti,” kata beliau.
Selain Ramanan, beberapa nama lain yang sudah mengesahkan pencalonan setakat ini ialah penyandang iaitu Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang; Timbalan Setiausaha Agung PKR, Dr. Sathia Prakash Nadarajan serta Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.-UTUSAN