Presiden PKR tidak dicabar, Saifuddin tidak hantar pencalonan

Politik

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan pemimpin tunggal yang mengemukakan borang pencalonan jawatan Presiden PKR setelah proses pencalonan berakhir pada pukul 11.59 malam semalam.

Menerusi pautan Pencalonan Pusat PKR, tiada nama yang menghantar nama bagi kedudukan itu berbanding jawatan lain menyaksikan persaingan sengit antara beberapa nama besar parti.

Dalam pada itu, jawatan Timbalan Presiden PKR menyaksikan persaingan dua nama besar PKR iaitu Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli selaku penyandang yang dicabar oleh Nurul Izzah Anwar, sebelum ini Naib Presiden PKR.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pula tidak mengemukakan pencalonan bagi mana-mana jawatan meskipun nama beliau dikaitkan dengan pertarungan kedudukan Timbalan Presiden.

Naib Presiden PKR pula menyaksikan persaingan sengit 12 calon termasuk tiga penyandang jawatan iaitu Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad; Menteri Sains dan Teknologi, Chang Lih Kang serta Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Turut sudah mengemukakan pencalonan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, R Ramanan; Timbalan Setiausaha Agung PKR, Dr Sathia Prakash Nadarajan; Ahli Parlimen Segamat R. Yuneswaran; Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, Senator Abun Sui Anyit dan bekas Exco Selangor, Hee Loy Sian.

Turut menarik perhatian tokoh lama PKR, Mustaffa Kamil Ayub yang pernah menjadi Naib Presiden parti pada satu ketika dahulu juga bertanding Naib Presiden di samping Setiausaha Politik kepada Presiden PKR, Manivanan Gowin turut merupakan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Jempol.

Sementara itu, lebih 70 nama nama telah menyerahkan borang pencalonan jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) antaranya Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, Pengerusi Finas dan pelakon, Datuk Hans Isaac dan bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.

Selain itu, dua nama yang tewas ketika pemilihan Cabang PKR baru-baru juga menghantar pencalonan MPP antaranya Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli dan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Dalam pada itu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyaksikan tiada calon lain merebut kedudukan Ketua AMK apabila Setiausaha Politik Menteri, Muhammad Kamil Abdul Munim hanya satu-satunya nama berbuat demikian manakala Timbalan Ketua AMK pula, terdapat dua calon iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, Muhammad Izuan Ahmad Kasim dan EXCO Angkatan Muda Keadilan (AMK), Arshad Hassni.

Berbanding sayap lain dalam PKR iaitu Wanita, terdapat persaingan bagi dua jawatan tertinggi iaitu Ketua Wanita dan Timbalan Ketua Wanita.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek selaku penyandang Ketua Wanita dicabar Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail manakala Juwairiya Zulkifli selaku Timbalan Ketua Wanita dicabar bekas Ketua Wanita PKR Johor, Napsiah Khamis.-UTUSAN