Penurunan SRR bukan petunjuk dasar monetari – Gabenor

Perniagaan

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) menegaskan bahawa keputusan untuk menurunkan Keperluan Rizab Berkanun (SRR) baru-baru ini bukanlah petunjuk kepada perubahan pendirian dasar monetari bank pusat itu.

Gabenor BNM, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata, kadar Dasar Semalaman (OPR) kekal sebagai satu-satunya penunjuk yang digunakan oleh BNM dalam menentukan pendirian dasar monetarinya.

Ujarnya, SRR merupakan satu alat pengurusan mudah tunai jangka sederhana yang digunakan oleh BNM bagi menambah atau mengurangkan mudah tunai dalam sistem perbankan.

“SRR merujuk kepada bahagian dana yang perlu diperuntukkan oleh bank-bank sebagai rizab dengan BNM dan dana ini tidak boleh digunakan untuk tujuan lain.

“Langkah penurunan SRR yang diumumkan semalam merupakan sebahagian daripada usaha berterusan BNM bagi memastikan kecukupan mudah tunai dalam sistem kewangan domestik.

“Langkah ini akan membantu bank-bank menguruskan mudah tunai dengan lebih berkesan dalam persekitaran pasaran kewangan yang lebih tidak menentu, sekali gus menyokong fungsi pengantaraan kewangan secara berterusan,” katanya.

Mengulas mengenai kesan tarif oleh Amerika Syarikat (AS), beliau berkata, sebagai ekonomi yang kecil dan terbuka, BNM menyedari Malaysia akan menerima kesan secara langsung dan tidak langsung daripada tarif itu.

“Bukan sekadar kesan langsung daripada pengenaan tarif, malah kejadian yang mempengaruhi ekonomi global juga mungkin memberikan kesan terhadap trajektori pertumbuhan dan inflasi negara.

“Berikutan perkembangan semasa, kami akan menyemak unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.5 peratus hingga 5.5 peratus untuk 2025 yang diumumkan pada Mac.

“Namun, kami tidak menjangka akan berlaku kemelesetan. Meskipun hasil rundingan perdagangan masih tidak menentu, Malaysia menghadapi situasi ini dengan kedudukan yang kukuh,” ujarnya.

Menurut beliau, BNM memiliki pelbagai alat dasar yang memberi fleksibiliti dan keupayaan untuk menyesuaikan tindak balas mengikut keperluan serta isu-isu khusus.

“Sebagai contoh, operasi pasaran BNM akan terus memastikan pasaran pertukaran asing berfungsi secara teratur dan pengantaraan kewangan berjalan lancar, khususnya dalam tempoh volatiliti.

“Secara berasingan, kami turut mengumumkan rancangan untuk menurunkan SRR bagi menambah mudah tunai dalam sistem kewangan,” ujarnya.

Tambahnya, BNM juga meneruskan kerjasama erat bersama kerajaan dalam aspek langkah-langkah fiskal bagi memastikan kedua-dua pihak bergerak seiring mencapai matlamat ekonomi yang sama. – UTUSAN