Jauhi politik fitnah – Sathia Prakash

Politik

PETALING JAYA: Calon Naib Presiden PKR, Dr. Sathia Prakash Nadarajan menyeru agar pemilihan parti kali ini dijalankan secara matang, beretika dan menghormati semangat perjuangan reformasi yang telah lama dibina.

Menurut Timbalan Setiausaha Agung PKR itu, semua calon dan anggota perlu mengelakkan budaya memburukkan kepimpinan serta menjauhi politik fitnah yang boleh memecahbelahkan parti. 

Katanya, kritikan membina wajar diraikan, namun tohmahan adalah racun dalam perjuangan.

“Pengkhianatan dari dalam parti tidak boleh dibiarkan. Akar umbi adalah nadi kekuatan kita, maka jangan sesekali khianati kepercayaan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kejayaan membentuk Kerajaan Perpaduan adalah hasil perjuangan reformasi yang dipimpin oleh Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sathia berkata, usaha kepimpinan terdahulu wajar untuk dihargai, bukan dicemuh.

“Saya bertanding bukan kerana jawatan, tetapi kerana rasa tanggungjawab untuk memperkukuh parti.

“Rakyat sedang memerhati siapa yang ikhlas dan siapa yang hanya mahukan kuasa,” katanya. – UTUSAN