Fahmi bertanding MPP kerana amanah perjuangan

Politik

PETALING JAYA: Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan keputusan beliau menawarkan diri sebagai calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada pemilihan parti sesi 2025-2028 bukan dibuat atas dasar mengejar jawatan semata-mata.

Sebaliknya, itu merupakan hasrat tersebut lahir daripada semangat perjuangan reformasi yang sudah lebih dua dekad diperjuangkannya bersama rakan-rakan seperjuangan dalam PKR.

“Sudah lebih dua setengah dekad kita bersama dalam gerakan reformasi ini, dari jalan raya ke Putrajaya, daripada menuntut keadilan buat individu teraniaya, kepada usaha membina semula sistem yang lebih adil dan telus untuk seluruh rakyat Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Katanya, kepimpinan parti perlu terus menzahirkan nilai-nilai murni seperti integriti, ketekunan dan keberanian yang menjadi teras perjuangan sejak 1998.

“Saya mohon kepercayaan saudara-saudari untuk sama-sama mengangkat PKR ke tahap lebih tinggi. Bukan untuk kita saja, tetapi juga untuk generasi akan datang,” katanya.

Sementara itu, proses pencalonan pemilihan parti yang berakhir jam 11.59 malam tadi menyaksikan tiada pencabar bagi jawatan Presiden yang terus disandang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jawatan Timbalan Presiden pula menyaksikan saingan satu lawan satu antara Nurul Izzah Anwar dan penyandang jawatan, Datuk Seri Rafizi Ramli yang juga Menteri Ekonomi.

Empat penyandang jawatan Naib Presiden turut mempertahankan kedudukan masing-masing dalam senarai 12 calon yang bertanding iaitu Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Turut diumumkan, Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim menjadi calon tunggal bagi jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK).

Sementara itu, jawatan Ketua Wanita PKR menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail.

Kongres Nasional PKR dijadualkan berlangsung di Johor Bahru dari 22 hingga 24 Mei ini, dengan hari pengundian ditetapkan pada 23 Mei. – UTUSAN