KUALA LUMPUR: Skuad kuadran negara meneruskan aksi cemerlang dalam saingan Piala Asia Sepaktakraw ASTAF 2025 apabila mencatat kemenangan kedua berturut-turut membelasah Filipina 2-1 dalam aksi Kumpulan B di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi.
Dalam perlawanan itu, barisan negara yang dibarisi Amirul Zazwan Amir, Norfaizzul Abd Razak, Muhammad Shahalril Aiman Halim dan Muhammad Afifuddin Mohd Razali tidak berdepan masalah mengekang regu lawan untuk mencatat kemenangan selesa.
Malaysia menguasai set pertama dengan corak permainan kemas dan bertenaga apabila menundukkan Filipina 15-6, sekali gus mengulangi prestasi cemerlang dalam perlawanan pembukaan sebelum ini.
Pada set kedua, anak buah kendalian jurulatih negara, Muhammad Zulkarnain Mohamed Arif dilihat seakan-akan hilang punca selepas tewas kepada regu Filipina dengan keputusan 17-16 sekligus terpaksa mengheret ke perlawanan set ketiga.
Malaysia membuktikan status kuasa besar sepak takraw selepas libasan terakhir Shahlril Aiman menutup set ketiga dengan kemenangan 15-8 sekaligus mengesahkan slot ke separuh akhir.
Kejayaan itu bukan sahaja mengesahkan tempat ke separuh akhir, malah menjadi isyarat jelas bahawa Malaysia antara pencabar utama memburu gelaran juara edisi kali ini.
Malaysia bakal melengkapkan aksi kumpulan menentang Jepun pada esok bagi menentukan kedudukan selaku juara kumpulan.-UTUSAN