Hakim Danish terus catat podium di Le Mans

Sukan

PETALING JAYA: Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli sekali lagi menamatkan saingan di kedudukan kedua, tetapi, kali ini dia terpaksa berpuas hati dengan keputusan itu selepas Perlumbaan 1, Piala RedBull MotoGP Rookies terpaksa ditamatkan lebih awal ekoran insiden kemalangan di Litar Le Mans, Perancis, tengah malam tadi (waktu Malaysia).

Anak jati Kuala Terengganu itu mencatat masa 17 minit 32.304 saat (s) untuk muncul sebagai naib juara, manakala, pencabar terdekatnya, Brian Uriarte dari Sepanyol menjuarai perlumbaan selepas melakar masa terpantas 17:31.903s.

Tempat ketiga menjadi milik penunggang dari Itali, Giulio Pugliese untuk keputusan podium pertamanya menerusi catatan masa 17:37.973s.

Hakim Danish yang memulakan aksinya di petak pertama, bagaimanapun, dikenakan long lap penalti pada perlumbaan pusingan kedua itu yang menyebabkan dia jatuh ke tangga kelima pada awal saingan.

Namun, anak muda berusia 17 tahun itu bekerja keras memastikan kedudukan dua tempat teratas diraihnya kembali dan bersaing sengit dengan Uriarte sepanjang perlumbaan.

Hakim Danish yang berjaya memimpin perlumbaan selepas itu, bagaimanapun, melakukan kesilapan kecil yang dimanfaatkan dengan baik oleh Uriarte untuk memintasnya sehinggalah bendera merah dikibarkan oleh marshall perlumbaan ketika saingan berada di pusingan ke-11.

Kemalangan membabitkan tiga pelumba iaitu Kerman Tinez, Kiatisak Singhapong dan Kgopotso Mononyane telah menyebabkan perlumbaan 1 itu dihentikan tanpa melengkapkan 15 pusingan keseluruhan.

Hakim Danish ketika ditemu bual selepas perlumbaan berakhir berkata, dia sekali lagi mencatat keputusan kedua selepas menyempurnakan long lap penalti.

“Saya berjanji dalam perlumbaan 2, esok, hanya yang terbaik bakal hadir daripada saya,” katanya yang mencatat kedudukan kedua buat kali ketiga berturut-turut di dalam Piala RedBull MotoGP Rookies, musim ini.

Sekalipun gelaran juara masih belum berada di dalam genggaman, tetapi, kedudukan sebagai naib juara buat kali ketiga itu meletakkan Hakim Danish kekal di kedudukan pendahulu senarai pelumba selepas mengumpul 60 mata.

Uriarte pula berada di tangga kedua dengan 50 mata, manakala, pelumba dari Australia, Carter Thompson yang menamatkan perlumbaan di kedudukan keenam mengutip 48 mata untuk menghuni tempat ketiga keseluruhan.

Pelumba SIC Racing itu akan beraksi di dalam perlumbaan 2 pada pukul 2.45 petang, hari ini, dan untuk saingan tersebut anak muda itu tidak lagi dikenakan long lap penalti serta berpeluang memacu laju jenteranya tanpa sebarang halangan. – UTUSAN