Nurul Izzah mulakan kempen di Perak

Politik

IPOH: Nurul Izzah Anwar yang bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti memulakan kempen di Perak untuk mendekati ahli akar umbi di sini hari ini.

Kehadiran beliau pada program Temu Rapat Akar Umbi dihadiri kira-kira lebih 1,500 orang di sebuah hotel di sini bermula pada pukul 8 malam.

Semasa berucap, anak sulung Datuk Seri Anwar Ibrahim itu mengimbau detik awal beliau dalam politik termasuk tekanan yang dihadapinya sebaik sahaja bapanya disingkirkan daripada kerajaan dan UMNO.

Beliau turut menjelaskan telah lama bersama parti termasuk memegang jawatan Naib Presiden PKR sejak 2010 sehingga kini.

“Ini parti saya, saya sayangkan perjuangan ini,” katanya di hadapan ahli parti dan penyokongnya di sini malam ini.

Nurul Izzah bakal menentang penyandang Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli untuk merebut jawatan kedua tertinggi PKR bagi sesi 2025-2028.

Dalam majlis itu, Nurul Izzah mahu ahli parti kekal bersatu meskipun berdepan pemilihan parti kali ini sengit.

“Saya nak semua bersama-sama membina parti kita kerana selepas ini pilihan raya (PRU-16).

“Maka saya berharap kali ini selaku calon Timbalan Presiden, di peringkat negeri jangan lupa Timbalan tak boleh kuat tanpa pasukan,” katanya. – UTUSAN