KUALA LUMPUR: Masa depan beregu wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan dimuktamadkan minggu depan selepas berakhir Terbuka Thailand yang akan berlangsung pada 13 hingga 18 Mei ini.
Timbalan Presiden BAM, Datuk V. Subaramiam berkata, pihaknya telahpun mengemukakan tawaran baharu kepada Pearly-Thinaah dan hanya menanti tandatangan kedua-dua pemain berkenaan.
“Kita telah pun berbincang dan anda semua sedar tawaran telahpun diberikan, hanya mereka yang belum menandatangani kontrak masing-masing atau menerima tawaran itu.
“Mereka telah berulang kali datang bertemu kami dengan jumlah tuntutan yang berbeza, tetapi, seperti yang anda sedia maklum, kami tidak mahu para pemain menjadikan BAM sebagai tebusan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Agung BAM kali ke-80 di sini, semalam.
Rudingan antara BAM dan beregu No. 4 dunia itu telah berlanjutan selama hampir lima bulan selepas kontrak Pearly-Thinaah tamat pada Disember lalu, tetapi, sehingga kini tiada sebarang kata putus dapat dimuktamadkan kedua-dua pihak.
Subramaniam berkata, pada ketika ini, Pearly-Thinaah berada di Bangkok bagi menyertai Terbuka Thailand dan pihaknya akan menyatakan pendirian sebaik beregu itu pulang ke tanah air kelak.
Katanya lagi, BAM juga telah membawa kemelut kontrak yang melanda Pearly-Thinaah ke mesyuarat majlis BAM, semalam dan ahli jawatankuasa secara sepakat untuk tidak berganjak dengan tawaran asal yang diberikan kepada beregu tersebut.
“Di sini saya mahu membuat penegasan bahawa BAM kekal dengan pendirian terhadap tawaran asal dan kami tidak mahu ‘penyakit’ ini berjangkit kepada pemain lain pula,” tegasnya.
Sementara itu, mengulas pula mengenai gaji pemain, Subramaniam memberi bayangan BAM mungkin akan bersikap lebih terbuka dengan mendedahkan jumlah gaji yang diterima barisan pemain negara.
“Majlis BAM telah bersetuju semua pendapatan para pemain, kita mungkin akan dedahkan kepada umum pada masa depan seperti mana yang berlaku kepada pemain-pemain bola sepak antarabangsa.
“Apabila tiba masa yang sesuai kami akan berunding dengan para pemain dan pendedahan itu akan dibuat kepada umum,” katanya.