Rifdean sasar kontrak ONE Championship

Sukan

PETALING JAYA: Atlet Muay Thai negara, Rifdean Masdor mensasarkan kontrak ONE Championship bernilai US$100,000 (RM429,900) dalam pertarungan seterusnya.

Kelmarin, Rifdean mencipta sensasi selepas melakar kemenangan Technical Knockout (TKO) ke atas lawannya dari Laos, Nongbia LaoLaneXang dalam masa hanya 47 saat.

Kemenangan tersebut merupakan yang ketiga daripada empat penampilan Rifdean di ONE Championship, sekali gus menjadi antara petarung muda yang menyerlah di pentas itu.

“Ramai yang tanya kenapa tiada bonus, saya sendiri pun tak tahu. Mungkin belum rezeki dan Insya-Allah akan datang mungkin dapat kontrak dan bonus sekali,” katanya.

Rifdean, 22, yang diberi julukan ‘Magic Boy’ adalah juara dunia bawah 23 tahun sebanyak tiga kali berturut-turut bermula edisi 2021 di Thailand diikuti 2022 (Emiriah Arab Bersatu) dan 2023 (Thailand).

Sebelum itu, dia turut merangkul gelaran remaja dunia 2019 yang berlangsung di Turkiye selain memenangi pingat emas Sukan SEA Filipina pada tahun sama.

Meskipun kecewa tidak membawa pulang bonus kemenangan, Rifdean tetap bersyukur atas kejayaan tersebut dan menjadikan ia sebagai pembakar semangat untuk tampil lebih garang pada aksi seterusnya.

“Saya tak boleh terlalu gembira, perjuangan masih jauh. Untuk pertarungan akan datang, saya akan beri yang terbaik,” tambahnya.

Sementara itu, seorang lagi petarung negara, Ahmad Nor Adam Rakib mencatat kemenangan sulung dalam debutnya menerusi keputusan split decision ke atas Nahyan Mohammed dari perancis.

Adam yang juga adik kepada jaguh Muay Thai negara, Ahmad Nor Iman Aliff mempamerkan taktikal kemas dalam pusingan pertama dan ketiga untuk mencuri mata kemenangan.-UTUSAN