PETALING JAYA: Liga Bolasepak Amatur (AFL) akan membuat tapisn lebih ketat bagi memperkasakan saingan Liga A1 Semi-Pro musim depan.
Pengerusinya, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, langkah itu bagi memastikan kualiti Liga Malaysia (Liga M) ditahap terbaik selepas Liga Perdana serta Piala MFL dimansuhkan.
Justeru itu katanta, AFL akan mengambil pendekatan ketat dengan semua kelab yang bertanding perlu memastikan kewangan kelab masing-masing stabil.
“AFL berhasrat membentuk liga divisyen dua yang berkualiti dalam mengisi kekosongan setelah Liga Perdana dan Piala MFL tidak lagi dianjurkan.
“Pada masa ini, kita mahu mengenal pasti terlebih dulu pasukan-pasukan yang mampu memenuhi kriteria serta keperluan untuk berada di dalam kelompok terbabit.
“Sasaran AFL adalah untuk mendapatkan 14 pasukan terbaik yang dilihat berpotensi dan bersedia untuk dinaikkan ke Liga Super Musim 2026-2027,” katanya selepas merasmikan taklimat persediaan pasukan AFL musim 2025-2026.
Ketika ini AFL dalam proses mengesahkan penyertaan pasukan terutamanya di Liga A1 Semi-Pro yang dijadualkan bermula pertengahan Julai ini.
Penganjur peringkat semi-pro dan amatur memberi keutamaan kepada pasukan-pasukan Liga A1 sedia ada serta yang layak dari Liga A2 musim lepas.
Bagaimanapun, daripada senarai itu, beberapa pasukan juga dilihat ‘tidak sihat’ apabila dikaitkan dengan isu tunggakan gaji.
AFL turut mengambil pendekatan untuk mengambil kira permohonan pasukan baharu yang dilihat mempunyai kedudukan kewangan yang lebih stabil khususnya pasukan yang sudah berada dalam piramid Liga M musim terdahulu (Piala MFL, Liga A2 & Liga A3).-UTUSAN