Skuad double kena lebih fokus

Sukan

KUALA LUMPUR: Prestasi skuad double negara dalam kejohanan Piala Asia Sepaktakraw ASTAF 2025 belum cukup memuaskan dari segi mutu persembahan dan penguasaan taktikal di gelanggang.

Jurulatih negara, Aswadi Abdullah berkata, meskipun mencatat kemenangan mudah dalam aksi pembukaan ke atas Nepal, masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki terutamanya dari aspek keserasian.

“Kalau kita tengok memang boleh menang tapi belum capai tahap permainan yang kita kehendaki.

“Mungkin kerana ini permainan pertama, pemain masih tercari-cari rentak dan struktur permainan belum tersusun,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan semalam.

Beliau turut menyentuh tentang kepentingan mengekalkan moral pemain agar dapat meningkatkan prestasi dari satu perlawanan ke satu perlawanan seterusnya.

“Sudah tentu kemenangan ini dapat naikkan semangat pasukan, walaupun dengan intensiti permainan yang sederhana. Kita harap pemain dapat tingkatkan mood permainan dalam aksi yang akan datang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Aswadi turut menyuarakan kebimbangan terhadap kelemahan ketara di bahagian rejaman dan juga servis yang perlu diberi perhatian segera.

“Aspek pukulan dan servis masih perlu diperbaiki. Kita memang titik beratkan perkara ini sebab ia banyak menentukan corak permainan kita nanti,” katanya.

Dalam aksi pertama menentang Nepal semalam, skuad negara yang dianggotai oleh Muhammad Noraizat Mohd Nordin (Redwan Hakim) dan Muhammad Aidil Aiman Azwawi menang 15-8, 15-8.

Sementara itu, dalam acara kuadran, Malaysia tidak berdepan masalah untuk menumpaskan China 15-10, 15-3.-UTUSAN