PKR Perak siasat jika AJK Cabang Lenggong dipaksa letak jawatan

Politik

IPOH: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak akan menyiasat kemungkinan ahli jawatankuasa (AJK) parti itu di Cabang Lenggong yang meletakkan jawatan baru-baru ini kerana dipaksa.

Pengerusinya, Mohamad Hairul Amir Sabri mengambil serius perkara itu yang menyaksikan 14 orang AJK termasuk Naib Ketuanya berbuat demikian kerana tidak berpuas hati dengan keputusan pemilihan parti pada bulan lalu.

“Kita kena semak. Mungkin kerana dipaksa. Ada setengah itu hanya mengikut orang lain. Kita akan turun ke sana,” katanya kepada pemberita selepas program Temu Rapat Akar Umbi bersama Nurul Izzah Anwar di sini malam tadi.

Pada Khamis lalu, 14 orang itu mengumumkan peletakan jawatan AJK selain menyatakan ketidakpercayaan sokongan terhadap Ketua Cabang baharu, Mohamad Tahirudin Pooty.

Didakwa tindakan itu bakal menyebabkan Cabang PKR Lenggong dibubar kerana bilangan AJK terlibat telah mencapai dua pertiga daripada keseluruhan AJK Cabang.

Mohamad Hairul bagaimanapun menolak kemungkinan pemilihan semula kerana bilangan AJK terbabit belum lagi mengambil kira AJK lantikan.

Beliau malah bercadang mengusulkan kepada kepimpinan tertinggi supaya mereka disekat untuk bertanding pada pemilihan akan datang, jika langkah meletakkan jawatan itu tidak berasas.

Sementara itu, beliau mengumumkan PKR Perak bakal memiliki bangunan sendiri di Bandar Meru Raya, bernilai RM1.5 juta untuk menjadi pusat pentadbiran dan latihan parti di negeri ini.

Tambahnya selepas Pulau Pinang, Perak menjadi negeri kedua yang bakal memiliki bangunan sendiri sebagai ibu pejabat PKR negeri jika proses itu berjaya dimuktamadkan. – UTUSAN