Syafiq hampakan pencabar muda, Yiat Qing ungguli kategori wanita

Sukan

KUALA LUMPUR: Pengalaman jelas membezakan apabila penerjun senior kebangsaan, Muhammad Syafiq Puteh mempamerkan ketenangan maksimum untuk menundukkan pencabar muda dalam Ujian Pemilihan Terjun Kebangsaan 2025 menerusi acara 3 meter (m) papan anjal individu lelaki, hari ini.

Syafiq meraih mata keseluruhan 391.25 mata, menewaskan Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim yang kian menyerlah (390.70 mata) manakala tempat ketiga milik Yong Rui Je dengan 360.40 mata.

Ketiga-tiga penerjun lelaki itu dijangka mengisi slot utama ke kejohanan antarabangsa musim ini selepas berjaya melepasi Skor Kelayakan Minimum (MQS) yang ditetapkan oleh Persekutuan Renang Malaysia (MAS) di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil.

MQS adalah penanda aras utama dalam menentukan atlet terjun yang layak mewakili negara di kejohanan antarabangsa, dengan cara setiap atlet perlu melepas had kelayakan minimum ditetapkan.

AKSI penerjun negara, Lee Yiat Qing dalam acara 3 meter (m) papan anjal wanita pada Kejohanan Ujian Pemilihan Terjun Kebangsaan 2025, di Pusat Akuatik National Bukit Jalil, di sini hari ini. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON

Dalam saingan wanita pula, Lee Yiat Qing membuktikan status sebagai penerjun utama apabila mengungguli acara 3m papan anjal individu wanita dengan kutipan 242.20 mata.

Yiat Qing mengatasi pencabar muda, Nur Ikmas Darwisyah Ikeram (186.20 mata) dan Cecilia Olivia Christopher (183.70 mata) dalam saingan tersebut. – UTUSAN