Tuntutan DAP tidak jejas hubungan Kerajaan Perpaduan

Politik

KOTA BHARU :Tindakan DAP menuntut jumlah kerusi yang sama rata antara  Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)  bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak menjejaskan hubungan dalam Kerajaan {erpaduan. 

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad berkata, desakan seperti itu perkara biasa ketika  menghadapi pilihan raya.

“Kita akan sentiasa mendengar desakan demi desakan, dalam Kerajaan Perpaduan itu perkara biasa dan akhirnya kita duduk, berbincang dan berunding bersama. Walaupun untuk PRN di Melaka, kita tetap  berunding bersama untuk agihan kerusi,” katanya selepas Majlis Perhimpunan Pagi Pengerusi Bersama Warga Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA)  di Dewan Serbaguna KADA, di sini hari ini.

Menurut Khalid, walaupun menghadapi PRN Melaka secara berasingan,  rundingan  itu dilakukan untuk pilihan raya  seluruh negara.

Sebelum ini, pelbagai pihak dilaporkan menolak cadangan DAP menerusi laporan sebuah akhbar berbahasa Cina yang bertajuk ‘9 Cawangan DAP Melaka meluluskan resolusi strategi 14 BN + 14 PH pada PRN Melaka akan datang.’

Dalam satu kenyataan bersama, semua cawangan itu menyokong supaya PH dan BN masing-masing bertanding 14 daripada 28 kerusi DUN di Melaka, selari semangat kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan pada peringkat Persekutuan. – UTUSAN