Peluang terbaik uji taring Harimau Malaya

Sukan

PETALING JAYA: Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski menganggap pertemuan dengan Cape Verde adalah satu ujian terbaik buat Malaysia sebelum berdepan Vietnam dalam perlawanan kedua Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 pada 10 Jun depan.

Sehubungan itu, Cklamovski mahu menggunakan dua perlawanan persahabatan menentang pasukan diranking ke-72 dunia itu sebagai medan membina corak permainan yang diinginkan agar Harimau Malaya tampil lebih garang apabila bertemu Vietnam kelak.

Menurut pengendali kelahiran Australia itu, pertemuan dengan Cape Verde bukan mudah, namun beliau percaya hasil daripada perlawanan pemanas badan itu bakal memberi input positif kepada kem negara.

”Kem latihan yang kami rancang adalah fasa penting untuk persiapan menentang Vietnam.

“Kem latihan ini lebih daripada sekadar persiapan tapi ia tentang membina permainan kami dengan tujuan sebenar,” katanya.

Berdasarkan kedudukan ranking, Cape Verde kini menghuni ranking 72 manakala skuad Harimau Malaya di tangga 131 dunia, ini menunjukkan kesukaran menanti Malaysia apabila turun menentang skuad Blue Sharks itu.

Rekod pasukan negara bertemu pasukan di ranking 100 dunia ke atas juga kurang memberangsangkan buat skuad Harimau Malaya sejak dua dekad lalu.

Aksi menentang Cape Verde pada 29 Mei dan 3 Jun itu dilihat pentas terbaik untuk Cklamovski mengesan kelemahan yang perlu diperbaiki dan mengenalpasti barisan terbaik.

Aksi pertama akan diadakan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras dan disenaraikan sebagai aksi berstatus tier 1, manakala perlawanan kedua pula bakal dilangsungkan secara tertutup di SNBJ yang tidak akan meraih mata ranking FIFA.

Perlawanan bertemu Cape Verde wajib dimanfaatkan sebaiknya oleh skuad negara yang dalam misi memburu tiket ke Piala Asia 2027, di mana kemenangan ke atas Vietnam bakal mengukuhkan kedudukan dalam Kumpulan F selepas Harimau Malaya menang 2-0 ke atas Nepal sebelum ini.

Aksi kelayakan pada edisi kali ini menyaksikan hanya juara kumpulan akan layak secara automatik ke Piala Asia 2027 yang akan berlangsung di Arab Saudi.-UTUSAN