“Saya tiada arah tujuan saat itu, ikutkan semasa PKP saya dah berhenti,”
Itulah luahan jujur jaguh angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan, apabila mengenang kembali saat sukar yang dilaluinya semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika Malaysia dilanda wabak Covid-19.
Ketika itu, kebanyakan aktiviti sukan dihentikan, Aniq berdepan kekosongan dan hilang arah tuju kerana hampir semua kejohanan dibatalkan sehinggakan dia terpaksa kembali ke kampung halamannya di Segamat, Johor.
Pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu berkata, dia pernah terfikir untuk meninggalkan dunia angkat berat kerana terasa seperti tiada hala tuju dalam latihan yang dijalani.
“Kalau ikutkan hati saya, semasa PKP mungkin saya dah berhenti. Walaupun saya kekal berlatih tapi bagi saya macam tak ada tujuan sebab memang tiada apa-apa kejohanan selama dua tahun tu,” katanya.

Untuk mengisi masa dan menghilangkan kebosanan, Aniq bekerja sambilan di ladang kelapa sawit di kampungnya, selain terus berlatih di rumah.
“Waktu PKP semua orang diarahkan pulang ke negeri masing-masing. Jadi, saya terpaksa balik ke kampung dan berlatih sendiri di rumah. Tapi bila dah lama-lama, saya rasa bosan. Jadi saya buat keputusan untuk kerja,” katanya.
Namun, di sebalik rasa hampir putus asa itu, muncul suara kecil dalam dirinya agar tidak menyerah.
Katanya, sokongan dari keluarganya khususnya abangnya, menjadi pembakar semangat buat dirinya meneruskan perjuangan.
“Pertama sekali, keluarga saya lah yang banyak beri semangat. Bila saya teringat abang saya juga mampu bertahan dalam bidang ini, kenapa bukan saya? Jadi, saya tetap teruskan latihan,” ujarnya.
Aniq juga banyak menerima nasihat daripada pengurusnya pada masa itu, Aris Mohamad Dol untuk tetap berlatih dan tidak berputus asa supaya terus kekal dalam dunia angkat berat.
“‘Pada masa tu, ada salah seorang ahli Persatuan Johor, Cikgu Aris, dia banyak nasihat saya supaya jangan putus asa” ujar Aniq.
Bagi Aniq, tempoh PKP merupakan cabaran besar baginya apabila penularan wabak Covid-19 memaksanya pulang ke kampung, sekali gus mengganggu rutin latihan hariannya memandangkan pusat latihan utamanya terletak di Johor Bahru.
Minat Aniq dalam dunia sukan bukanlah sesuatu yang dirancang dari awal dan sebelum terjebak dalam angkat berat, dia sebenarnya aktif dalam sukan hoki sewaktu di Sekolah Sukan Negeri (SSN Johor).
Namun, takdir mengubah haluan hidupnya apabila dia sering menemani abangnya yang seorang atlet angkat berat paralimpik, Aus Kasdan ketika menjalani latihan angkat berat.
“Waktu tu abang saya yang mula dulu. Saya sekadar teman dia ke latihan. Tapi akhirnya, saya pun terjebak sekali sebab saya nak keluar kehidupan di asrama, jadi dengan menyertai latihan, itulah alasan nak keluar dari asrama,” katanya.

Dengan bimbingan seorang jurulatih dari Indonesia yang ketika itu melatih abangnya, Aniq perlahan-lahan mula menjadikan angkat berat sebagai karier yang serius.
Kini, ia merupakan sumber rezeki dan lambang pencapaian buat dirinya untuk terus komited dalam sukan angkat berat.
Aniq turut berkongsi saat paling pahit sepanjang kerjayanya ialah semasa temasya Olimpik Paris 2024 apabila dia terlepas pingat gangsa dengan perbezaan satu kilogram.
“Saya kalah sekilo je beza. Memang pahit, tapi saya ambil itu sebagai pengajaran untuk usaha lebih kuat,” katanya.
Aniq ketika ini dalam fasa persiapan menjelang Kejohanan Angkat Berat Asia di China dengan sasaran mahu mencecah jumlah angkatan 300kg yang sudah menjadi idaman dirinya dan jurulatihnya sejak sekian lama.
“Sasaran kali ini, saya nak capai 300kg. Sebelum ni saya pernah buat 298kg, tapi tak lepas-lepas nak capai 300kg tu. Saya tak kisah dapat medal atau tak, yang penting capai target tu.
“Jurulatih saya pun dah sasar lama dah, jadi saya nak penuhi harapan dia,” tekadnya.-UTUSAN