KUALA LUMPUR: Vietnam mengesahkan status sebagai kuasa besar baharu sepak takraw apabila menundukkan Korea Selatan 2-0 dalam aksi terakhir peringkat Kumpulan A Piala Asia Sepak Takraw 2025, sekali gus menempah tiket ke separuh akhir selaku juara kumpulan.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Titiwangsa, skuad kuadran Vietnam yang dibarisi Nguyen Hoang Lan, Guong Minh Chau, Luong Chong Minh dan Huynh Ngoc Sang tampil garang seawal set pertama apabila tidak memberi ruang kepada Korea Selatan untuk bangkit, menamatkan set tersebut dengan keputusan selesa 15-7.
Momentum cemerlang Vietnam diteruskan pada set kedua apabila mereka terus mengasak tanpa henti dan menutup set dengan kemenangan meyakinkan 15-9.
Kemenangan mutlak itu bukan sahaja memastikan Vietnam muncul selaku pendahulu Kumpulan A, malah membuktikan mereka sebagai pencabar utama kejuaraan edisi kali ini.
Korea Selatan pula menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga kedua dan layak ke separuh akhir selaku naib juara kumpulan.
Vietnam bakal berdepan Filipina dalam aksi separuh akhir esok, manakala Korea Selatan dijadual bertemu Malaysia yang muncul juara Kumpulan B.
Kedua-dua perlawanan separuh akhir dijangka berlangsung sengit, dengan tiket ke pentas final menjadi rebutan antara empat pasukan terbaik kejohanan-UTUSAN