PETALING JAYA: Bintang skuasy No. 1 negara, S. Sivasangari dan Ng Eain Yow melepasi halangan awal pada Kejohanan Dunia, hari ini, namun, kedua-dua wakil Malaysia itu perlu lebih konsisten berdepan pencabar yang handal pada pusingan kedua di Kelab Universiti Chicago, Amerika Syarikat (AS), esok.
Sivasangari yang kini menghuni ranking No. 9 dunia memerlukan 39 minit sebelum beroleh kejayaan ke atas Marta Dominguez dari Sepanyol 11-4, 11-5, 16-18, 11-2.
Pada pusingan kedua, anak jati Sungai Petani, Kedah itu akan turun beraksi menentang lawan yang lebih kuat iaitu pemain ke-17 dunia, Sana Ibrahim dari Mesir.
Pemain No. 10 dunia, Eain Yow pula meraih kemenangan straight set ke atas wakil England, Patrick Rooney 11-8, 11-5, 11-6 dalam masa 44 minit dan di peringkat seterusnya, dia akan bertemu Muhd Asim Khan dari Pakistan.
Pengarah Kejurulatihan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Andrew Cross berkata, baik Sivasangari serta Eain Yow tahu untuk mengatasi pencabar masing-masing dan mereka berdua mengawal permainan dengan baik.
“Tetapi Sivasangari secara tiba-tiba hilang rentak dalam set ketiga apabila pencabarnya, Marta bermain dengan cemerlang.
“Eain Yow pula lebih stabil permainannya dan dia mengawal baik pertemuan itu untuk menang tiga set,” kata jurulatih kelahiran England itu.
Dua lagi pemain negara iaitu Rachel Arnold mengetepikan Nour Heikal dari Mesir 11-9, 11-9, 4-11, 11-3, manakala, Aira Azman menewaskan Torrie Malik dari England 11-8, 10-12, 11-7, 11-8.
Rachel yang berada di ranking ke-19 dunia bakal berdepan bintang No. 4 dunia dari AS, Olivia Weaver dan Aira bertemu pemain No. 12 dunia, Salma Hany dari Mesir.
“Untuk Rachel, dia berdepan pencabar yang sukar tetapi akhirnya menang dalam empat set, dia perlu kekalkan fokus dalam permainan, sementara, Aira pencabarnya, Torrie berjaya memaksa dia bekerja keras sebelum menang,” kata Cross.
Sementara itu, tiga lagi pemain Malaysia, Aifa Azman, Noor Aina Amani Ampandi dan Sanjay Jeeva terkandas di pusingan pertama selepas tumpas kepada lawan masing-masing.-UTUSAN