Sabalenka bangkit lepas tekanan

Sukan

ROM: Pemain No. 1 dunia, Aryna Sabalenka membuktikan mental juaranya apabila bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menundukkan Sofia Kenin 3-6, 6-3, 6-3 di Terbuka Itali.

Biarpun aksi awalnya serba tidak menjadi, juara Terbuka Miami dan Madrid itu kembali menemui rentak dan kini menjadi pilihan utama memburu gelaran sulung di Rom.

Sabalenka, yang tewas di final kejohanan ini tahun lalu, mengakui prestasinya longlai kerana permukaan gelanggang yang perlahan dan mengganggu gaya permainannya.

“Saya memang tidak menjadi langsung tadi, dan saya bersyukur dapat tenangkan diri dan mula fokus kepada permainan.

“Gelanggang ini sangat perlahan, bola mudah mati dan memang sesuai dengan gaya permainan Kenin, jadi saya sentiasa di bawah tekanan,” kata Sabalenka.

Dia kembali mengawal permainan pada set kedua dan ketiga, meskipun beberapa kali hampir terperangkap dengan kesilapan sendiri ketika melakukan servis dan pukulan balas.

Kemenangan ini membuka ruang untuk Sabalenka merangkul gelaran WTA 1000 ketiga musim ini selepas musuh utamanya, Iga Swiatek dikejutkan oleh Danielle Collins.

Sabalenka turut menyentuh prestasi Swiatek yang menurutnya sedang melalui cabaran getir di dalam dan luar gelanggang namun tetap berpotensi kembali.

Kini, fokus tertumpu kepada pertemuan menarik antara Sabalenka dan Marta Kostyuk, manakala Coco Gauff turut mara selepas mengetepikan Magda Linette dengan kemenangan straight set. – AGENSI