LE MANS: Johann Zarco menamatkan kemarau 71 tahun apabila muncul juara MotoGP Perancis dalam keadaan hujan di Litar Bugatti, sekali gus menjadi wira baharu negara kelahirannya.
Pelumba Honda LCR berusia 34 tahun itu mengambil alih kedudukan pendahulu selepas lapan pusingan dan mengekalkannya hingga ke penamat untuk meraih kemenangan pertama di rumah sendiri.
Zarco meraikan kemenangan keramat itu dengan air mata sambil disaksikan ibunya buat kali pertama dan lebih 300,000 penyokong yang bersorak ‘La Marseillaise’ membakar semangatnya.
“Saya hampir tak percaya, ini luar biasa. Saya selalu beri 100 peratus tapi tak sangka akan menang di sini, di Le Mans.
“Kemenangan ini sangat istimewa… saya perlu tenang dan tunggu peluang, dan akhirnya impian ini menjadi kenyataan di depan rakyat saya sendiri,” kata Zarco.
Saingan itu menyaksikan Marc Marquez (Ducati) menamatkan perlumbaan di tempat kedua, manakala pendatang baharu Fermin Aldeguer (Gresini) mengejutkan ramai dengan podium pertama dalam kariernya.
Kemenangan itu hadir dalam suasana kekacauan apabila enam pelumba termasuk adik Marquez, Alex, terbabas akibat litar licin dengan cuaca hujan menjadikan perlumbaan penuh drama sejak awal.
Penonton di Le Mans bukan sahaja mencipta sejarah kehadiran tertinggi dalam sejarah MotoGP, tetapi juga menyaksikan detik paling emosional apabila Zarco membuat ‘backflip’ ikonik meraikan kejayaan bersejarah itu. – AGENSI