Semua calon bertanding telah disaring

Politik

PETALING JAYA: Semua ahli PKR yang bertanding dalam Pemilihan kali ini telah disa­ring dan disemak latar belakang mereka.

Ia termasuk 36 individu yang dicadang pemecatan keahlian mereka kerana disyaki masih aktif dalam parti politik lain walaupun telah menyertai PKR.

Bagaimanapun, ­Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh berkata, daripada jumlah itu seramai 28 ahli sudah di­tamatkan keahliannya manakala 11 lagi yang membuat rayuan dikekalkan.

Katanya, ia selepas mereka mengemukakan bukti bagi menyokong komitmen dan kese­tiaan mereka terhadap parti.

“Segala aduan telah diteliti secara menyeluruh termasuk menyemak semula latar belakang individu terlibat, seperti yang berlaku di Cabang Jempol, Pasir Salak dan sayap wanita Besut yang menjalani pemilihan semula.

“Saya turut mencadangkan kepada kepimpinan pusat parti agar keahlian 36 individu di­tamatkan selepas proses pencalonan untuk pemilihan di peringkat Cabang selesai kerana yakin mereka telah melanggar peraturan parti dengan kekal aktif sebagai ahli parti politik lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli bahawa beliau gagal memastikan hanya ahli tulen parti layak bertanding dalam pemilihan peringkat Cabang.

Kelmarin Rafizi menerusi podcast Yang Bakar Menteri: Yang Berhenti Menteri? mendakwa terdapat individu bukan ahli PKR, termasuk dari UMNO, yang berjaya bertanding dan menang jawatan dalam pemilihan parti.

Kata Fuziah, urusan ber­kaitan keahlian sememangnya tanggungjawab Setiausaha Agung PKR.

“Namun, tidak benar untuk kata saya tidak mengambil tanggungjawab. Usaha sewajarnya telah dilakukan dan adu­an-aduan telah diteliti dengan teliti. Saya sendiri telah menye­maknya satu demi satu,” katanya.

Fuziah mengakui menyemak latar belakang lebih 18,000 calon adalah tugas mencabar memandangkan pihaknya tidak mempunyai akses kepada sistem data parti lain, justeru ha­nya boleh bertindak sekiranya sesuatu aduan disertakan de­ngan maklumat lengkap.

Katanya, PKR turut mengambil kira sejarah keahlian dan komitmen seseorang sebelum membuat keputusan.

“Ramai bekas ahli UMNO menyertai PKR tanpa keluar secara rasmi, menyebabkan nama mereka kekal dalam sistem UMNO dalam kes sebegini, kami ambil kira parti terakhir yang mereka aktif,” katanya.

Beliau menjelaskan sentiasa terbuka menerima aduan dan bersedia menyemak semula mana-mana kes sekiranya di­sertakan dengan bukti sahih.-UTUSAN.