KUALA LUMPUR: Tawaran lumayan daripada penaja luar dipercayai menjadi antara faktor utama yang menyebabkan rundingan kontrak beregu wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah gagal dimuktamadkan.
Legenda badminton negara, Datuk Razif Sidek secara terbuka mengakui tidak hairan jika Pearly-Thinaah kini dalam dilema selepas menerima tawaran lumayan berbanding apa yang ditawarkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
“Kalau mereka minta jumlah tertentu yang besar, dan semestinya ada pihak yang sanggup beri.
“Sebagai contoh, kalau gaji dalam BAM beri RM10,000 tetapi penaja luar tawar lebih tinggi dengan kontrak jangka panjang, memang kena fikir masak-masak, ” kata Razif kepada Utusan Malaysia.
Razif turut menyentuh kebimbangan tentang isu cukai dan tanggungjawab pemain profesional yang perlu lebih bijak merancang sebelum memilih haluan.
Katanya, dalam keadaan sekarang, segalanya terpulang kepada kebijaksanaan Pearly-Thinaah sama ada kekal di bawah naungan BAM atau mengorak langkah sebagai pemain profesional.
Sebelum ini beberapa pemain telah bertindak meninggalkan BAM untuk bergerak secara profesional kerana mendapat tajaan luar termasuk pemain perseorangan Lee Zii Jia dan pasangan beregu No.2 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.-UTUSAN