BAM, Pearly-Thinaah perlu segera capai kata sepakat

Sukan

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan beregu wanita No.1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah perlu segera mencapai kata sepakat berhubung kontrak baharu jika tidak mahu berdepan risiko kehilangan kepentingan masing-masing.

Kegagalan memuktamadkan rundingan yang telah berlarutan sejak lima bulan lalu bukan sahaja boleh menyebabkan BAM kehilangan aset utama ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28), malah berpotensi menjejaskan kestabilan skuad kebangsaan.

Di pihak Pearly-Thinaah pula, ketidaktentuan mengenai masa depan bersama BAM boleh menyebabkan mereka terlepas peluang keemasan mendapatkan tajaan lumayan daripada penaja luar sekiranya prestasi mereka menurun.

Legenda badminton negara, Datuk Razif Sidek berkata, dalam dunia profesional, tawaran besar adalah realiti, namun pemain perlu berfikir panjang dan menilai keupayaan untuk mengekalkan prestasi jika memilih untuk bergerak sendiri.

“Tawaran tinggi bukan sesuatu yang mustahil sekarang, tetapi kalau prestasi tidak meyakinkan, pihak luar pun akan fikir dua kali. Dalam hal ini, mereka perlu bijak merancang masa depan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya, beliau tidak terkejut jika ada penaja luar yang sanggup menawarkan jumlah besar, lebih tinggi daripada apa yang ditawarkan BAM, namun keputusan akhir terletak pada kebijaksanaan pemain itu sendiri.

“Saya percaya kalau mereka minta jumlah tertentu yang besar, semestinya ada pihak yang sanggup beri. Tapi mereka kena nilai juga dari segi cukai, pengurusan karier dan tekanan sebagai pemain bebas,” ujarnya.

BAM sebelum ini menegaskan tidak akan berganjak daripada tawaran asal dan tidak akan tunduk kepada tuntutan keterlaluan mana-mana pemain, termasuk Pearly-Thinaah.

Badan induk badminton negara itu difahamkan memberi tempoh sehingga berakhir Terbuka Thailand pada 18 Mei ini untuk Pearly-Thinaah untuk membuat keputusan berhubung kontraknya.-UTUSAN