KUALA LUMPUR: UMNO tidak boleh bergantung kepada pendekatan lapuk dalam menghadapi cabaran politik masa kini yang semakin kompleks dan sukar diramal.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, landskap politik negara sudah berubah secara menyeluruh pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang menyaksikan tiada lagi dominasi mutlak oleh mana-mana parti politik.
Katanya, dalam situasi hari ini, parti-parti politik perlu berunding, berkongsi kuasa dan membentuk kerjasama demi memastikan kestabilan kerajaan dapat dikekalkan.
“Rakyat kini lebih terbuka dan kritikal. Kebergantungan mereka terhadap parti politik semakin berkurang akibat defisit kepercayaan yang lahir daripada kegagalan menunaikan janji dan persengketaan dalam kalangan pemimpin,” katanya pada Majlis Ulangtahun UMNO Ke-79 di Dewan Tun Hussein Onn, di sini, semalam.
Turut hadir, Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Datuk Seri Johari Ghani.
Ahmad Zahid berkata, generasi pengundi masa kini seperti Gen Z dan Gen Alpha menilai politik menerusi lensa baharu, dipengaruhi media sosial dan tidak lagi terikat dengan naratif sejarah atau retorik lama.
“Mereka menuntut harapan dan masa depan yang lebih baik, bukan sekadar janji kosong atau nostalgia lampau,” katanya.
Terdahulu, sambutan tersebut dimulakan dengan bacaan tahlil dan doa selamat buat bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang juga Presiden UMNO Ke-6 yang menerajui parti itu bermula tahun 2003 hingga 2009.
Abdullah meninggal dunia pada usia 86 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), 14 April lalu dan disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara dalam istiadat penuh penghormatan negara.-UTUSAN.