Sivasangari, Eain Yow mara ke pusingan ketiga kejohanan dunia

Sukan

PETALING JAYA: Dua pemain skuasy negara, S. Sivasangari dan Ng Eain Yow meneruskan cabaran ke pusingan ketiga selepas menyingkirkan pencabar masing-masing pada pusingan kedua Kejohanan Dunia di Kelab Universiti Chicago, Amerika Syarikat (AS), hari ini.

Sivasangari yang menghuni ranking No. 9 dunia menewaskan pemain ke-17 dunia, Sana Ibrahim dari Mesir 11-4, 11-6, 5-11, 11-5 dalam masa 41 minit di pusingan kedua.

Pada Rabu sekitar pukul 7.30 pagi (waktu Malaysia), anak jati Sungai Petani, Kedah itu akan turun beraksi menentang wakil tuan rumah, Amanda Sobhy yang berada di tangga No. 8 dunia.
Berdasarkan rekod pertemuan, kedua-dua pemain terikat dengan keputusan seri 2-2.

Namun begitu, kelebihan psikologi sedikit berpihak kepada Sivasangari, 26, yang menewaskan pemain AS berusia 32 tahun itu 11-7, 6-11, 7-11, 11-7, 11-4 dalam pertemuan terakhir pada final Piala Cincinnati Gaynor, Februari lalu.

Untuk mencerahkan peluang ke suku akhir, Sivasangari perlu mempamerkan prestasi yang lebih konsisten terutama ketika mendahului dua set, dia sering tewas dalam set ketiga sebelum bangkit pada game berikut.

Sementara itu, pemain No. 10 dunia, Eain Yow tidak berdepan masalah untuk mengetepikan Muhammad Asim Khan dari Pakistan 11-4, 11-2, 11-4 dalam masa 32 minit.

Kejayaan tersebut bakal menemukan pemain kelahiran Kuala Lumpur itu dengan bintang No. 1 dunia, Mostafa Asal dari Mesir juga pada Rabu (pukul 3.45 pagi waktu Malaysia).

Rekod pertemuan 1-2 tidak berpihak kepada Eain Yow, tetapi, pemain negara itu pernah menewaskan Mostafa 11-8, 11-5, 11-8 pada pusingan kedua Terbuka Mesir, empat tahun lalu.

Sementara itu, dua lagi wakil Malaysia, Rachel Arnold dan Aira Azman tewas kepada lawan masing-masing di pusingan kedua.

Rachel tunduk di tangan jaguh No. 4 dunia, Olivia Weaver 5-11, 2-11, 13-11, 5-11 dan Aira pula tumpas kepada pemain ke-12 dunia, Salma Hany Ibrahim Ahmed 6-11, 10-12, 4-11. – UTUSAN