KUALA LUMPUR: Harapan skuad double negara yang diwakili Muhammad Noraizat Mohd Nordin dan Aidil Aiman Azwawi untuk menghadiahkan gelaran kedua buat kem Malaysia di pentas Piala Asia Sepaktakraw ASTAF 2025 berkecai apabila tumpas kepada gandingan Thailand dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi.
Dalam perlawanan dramatik yang menyaksikan aksi penuh debaran, pasangan negara terpaksa akur dengan kekuatan lawan apabila tewas 1-2 kepada gandingan mantap Thailand, Boonkom Tipwong dan Sirisak Anuloon.
Malaysia yang turun dengan misi membalas dendam atas kekalahan di peringkat kumpulan memulakan saingan dengan penuh bergaya apabila meraih kemenangan selesa 15-7 pada set pertama hasil kawalm kemas Aidil Aiman serta libasan tajam Noraizat.
Bagaimanapun, momentum itu gagal dikekalkan apabila pemain lawan mempamerkan kebangkitan luar biasa pada set kedua selepas kemasukan Thanapon Sapyen nyata memberi impak di samping Thailand mengambil kesempatan atas beberapa kesilapan mudah yang dilakukan beregu negara untuk mengikat kedudukan selepas menang 15-10.
Set penentuan menyaksikan pertarungan sengit apabila kedua-dua pasukan saling berbalas mata, namun kegagalan menyempurnakan servis serta ketumpulan serangan akhirnya mengundang padah buat Malaysia.
Thailand terus mengukuhkan penguasaan mereka sebelum memastikan kemenangan mutlak menerusi keputusan 15-12 di set ketiga, sekali gus memadam impian Malaysia untuk merangkul kejuaraan di laman sendiri.-UTUSAN