Betamek sasar tembusi pasaran Thailand, Vietnam

Perniagaan

KUALA LUMPUR: Betamek Berhad (Betamek) sedang menyusun strategi agresif untuk menembusi pasaran luar negara, khususnya di rantau ASEAN, selain terus mengukuhkan kedudukan dalam pasaran domestik menerusi kerjasama jangka panjang bersama pelanggan utama seperti Perodua.

Pengarah Urusannya, Mirzan Mahathir berkata, Thailand dan Vietnam menjadi dua negara sasaran utama kerana masing-masing memiliki ekosistem automotif yang pesat berkembang.

“Betamek kini dalam peringkat perbincangan awal dengan beberapa rakan berpotensi di dua negara tersebut, yang masing-masing mempunyai pasaran automotif yang besar.

“Thailand mempunyai industri automotif yang matang dan aktif mengeksport, manakala Vietnam pula menawarkan pasaran domestik besar dan sedang menarik pelabur luar untuk memasang serta menjual kenderaan dalam negara. Justeru, ia membuka peluang besar buat Betamek,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Selain itu, beliau berkata, pengambilalihan Sanshin Malaysia Sdn. Bhd. pada tahun lalu membolehkan kami membina asas kukuh bagi perluasan eksport ke negara Jepun dan Hong Kong.

“Dengan kepakaran dalam elektronik automotif, Betamek berada pada kedudukan strategik untuk menarik kerjasama antarabangsa di rantau ASEAN.

“Trend pemindahan operasi oleh pengeluar global dari China bagi mengelak tarif tinggi juga membuka peluang strategik kepada Malaysia sebagai hab pengeluaran alternatif, yang kini giat diteroka,” katanya.

Mengulas perkembangan teknologi kenderaan elektrik (EV), beliau berkata, peralihan global ke arah elektrifikasi kenderaan membuka ruang pertumbuhan jangka panjang buat syarikat itu.

“Pada Mac lalu, Betamek telah melancarkan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) baharu di Rawang, yang memberi tumpuan kepada pembangunan sistem telematik, sensor lanjutan, sistem bantuan pemandu lanjutan (ADAS) serta teknologi kokpit pintar.

“Pusat ini merupakan langkah penting kami untuk menyokong ekosistem EV negara, selaras dengan Dasar Automotif Nasional (NAP 2020).

“Kami yakin pelaburan ini akan meletakkan Betamek di landasan strategik untuk menyertai industri EV secara lebih aktif,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, berdepan persekitaran ekonomi global yang mencabar, Betamek tetap mencatat prestasi kewangan memberangsangkan dengan asas yang kukuh.

“Rizab tunai syarikat kini melebihi RM50 juta dengan nisbah hutang kepada ekuiti yang rendah pada kadar 0.08.

“Keuntungan kekal stabil hasil kecekapan operasi, pelaburan dalam automasi serta kawalan kos yang berdisiplin. Kami juga menerima geran transformasi digital daripada kerajaan bagi menyokong penaiktarafan sistem operasi.

Bagi tahun kewangan 2025, Mirzan berkata, syarikat menjangkakan pertumbuhan mampan disokong permintaan berterusan daripada Perodua serta pelancaran produk baharu seperti sistem telematik dan penyelesaian berhubung.

Sebagai tanda komitmen terhadap pemegang saham, Betamek telah mengisytiharkan dividen interim sebanyak 3.25 sen sesahambagi sembilan bulan pertama 2025 berbanding 3.0 sen sesaham yang diumumkan bagi keseluruhan tahun kewangan 2024. – UTUSAN